BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dalam kenyataannya hari ini mengesahkan mengenai insiden sebuah pesawat penerbangan mereka yang telah disambar petir kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Pada waktu kejadian, tiada kru yang bertugas mahupun pelanggan yang berada di dalam pesawat A320CEO RB dan tiada kecederaan dilaporkan, menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan menambah, juruterbang dan kru kabin telah dilatih untuk mematuhi prosedur operasi standard semasa mengendalikan insiden itu secara profesional dan memastikan keselamatan pelanggan setiap masa.
Pesawat terbabit akan diperiksa oleh jurutera RB dengan bantuan jurutera struktural Airbus untuk memastikan takat pembaikan dan mengenal pasti kerosakan lain pada pesawat itu sebelum ia dibenarkan untuk beroperasi semula.
Semua pesawat udara direka dengan keupayaan untuk bertahan dengan pancaran kilat dan insiden tersebut tidak menjejaskan penumpang di dalam pesawat termasuk apabila ia sedang beroperasi.
RB dalam kenyataan itu lagi menekankan bahawa keselamatan pelanggan menjadi keutamaan RB dan mereka akan terus memantau keadaan cuaca dengan Jabatan Penerbangan Awam dan Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam bagi memastikan keselamatan operasi untuk semua penerbangan.