Wednesday, May 8, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Pesawat Rusia, China masuk zon pertahanan Korea S

    SEOUL, 6 JUN – Beberapa pesawat tentera Rusia dan China memasuki zon pertahanan udara Korea Selatan hari ini, kata tentera Seoul, mendorong tentera udara untuk menghantar pesawat pejuang sebagai tindak balas.

    Empat pesawat tentera Rusia dan tentera China memasuki zon di luar pantai timur dan selatan Korea Selatan sekitar waktu makan tengah hari, hari ini, kata Ketua Staf Bersama (JCS) Seoul dalam satu kenyataan.

    Zon pertahanan udara merupakan kawasan yang lebih luas daripada ruang udara negara di mana ia cuba mengawal pesawat atas sebab keselamatan, tetapi konsep itu tidak ditakrifkan dalam mana-mana perjanjian antarabangsa.

    Tentera Korea Selatan “mengenal pasti jet China dan Rusia sebelum mereka masuk ke zon pertahanan tentera udara,” kata JCS.

    “Kami telah menghantar pesawat pejuang tentera udara untuk menjalankan langkah taktikal sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan,” tambahnya.

    Lapan pesawat asing itu tidak melanggar ruang udara Seoul, kata JCS.

    Insiden itu berlaku selepas menteri pertahanan Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini bersetuju untuk menyediakan perkongsian data masa nyata mengenai pelancaran peluru berpandu Korea Utara menjelang akhir tahun.

    Korea Selatan telah menyokong sekatan Barat ke atas Rusia berhubung perang di Ukraine dan telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Kyiv. Tetapi ia terikat dengan peraturannya sendiri yang melarang bekalan bantuan senjata kepada negara yang berkonflik. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...