Thursday, January 30, 2025
21.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat tentera bawa pulang 110 warga Colombia dari AS

    BOGOTA 28 JAN – Sebuah pesawat Tentera Udara Colombia dijadualkan berlepas dari lapangan terbang tentera CATAM di Bogota pada Isnin menuju ke San Diego, California bagi membawa pulang 110 warganya yang sedang menunggu pengusiran dari Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu (AA).

    “Memenuhi komitmen Presiden Gustavo Petro dan susulan pengumuman Menteri Luar Luis Guillermo Murillo, Kerajaan telah menyediakan sebuah pesawat Tentera Udara Colombia untuk membawa pulang 110 rakyat Colombia yang diusir dari AS.

    “Proses repatriasi ini akan mematuhi protokol yang ditetapkan bagi memastikan kepulangan bermaruah dan menjamin hak warganegara yang pulang,” menurut Kementerian Luar dalam kenyataan di platform X.

    Perkembangan itu berikutan pertikaian diplomatik antara Colombia dan AS yang hampir mencetuskan sekatan besar, termasuk pembatalan visa dan potensi sekatan lain.

    Konflik timbul apabila dua pesawat AS yang membawa migran yang dihantar pulang telah dinafikan kebenaran mendarat di Colombia.

    Walaupun kebenaran awal telah diberikan, Petro menarik balik kebenaran itu ketika pesawat sedang dalam penerbangan. Beliau menyatakan akan menerima warganya “tanpa melayan mereka seperti penjenayah” dan menekankan perlunya repatriasi secara “bermaruah dan penuh hormat.”

    Sebagai tindak balas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan sekatan terhadap Colombia, termasuk tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua barangan Colombia yang memasuki AS, dengan kenaikan kepada 50 peratus dirancang dalam seminggu.

    Trump juga mengumumkan larangan perjalanan dan pembatalan visa untuk pegawai Colombia serta penyokong mereka, sekatan kewangan kecemasan, dan pemeriksaan yang lebih ketat oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan ke atas, “semua warganegara dan kargo Colombia atas alasan keselamatan negara.”

    Ramai orang menyatakan di media sosial bahawa janji temu visa AS mereka di Bogota yang dijadualkan pada Isnin telah dibatalkan. Maklumat mengenai penjadualan semula belum dikeluarkan.

    Walaupun Colombia mengancam untuk bertindak balas dengan mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan AS, Rumah Putih kemudian mengumumkan bahawa negara itu telah menerima perjanjian untuk menerima migran, “tanpa had atau penangguhan.”

    “Peristiwa hari ini jelas menunjukkan kepada dunia bahawa Amerika kembali dihormati,” kata setiausaha akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt dalam kenyataan. – Bernama/AA

    Gustavo Petro menyampaikan ucapan semasa upacara ketenteraan di sekolah tentera Jose Maria Cordova di Bogota pada Mei 2024. Colombia sediakan sebuah pesawat Tentera Udara Colombia untuk bawa pulang 110 rakyat Colombia yang diusir dari AS. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda