Thursday, February 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat terbalik ketika mendarat di Toronto, 15 cedera

    TORONTO, 18 FEB – Sebuah pesawat Delta Air Lines tergelincir dan terbalik ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson, Toronto kelmarin, mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang cedera termasuk seorang kanak-kanak.  

    Menurut laporan United Press International (UPI) yang memetik Perkhidmatan Paramedik Wilayah Peel, tiga mangsa – seorang lelaki berusia 60-an, seorang wanita dalam lingkungan 40-an dan seorang kanak-kanak – berada dalam keadaan kritikal.  

    Seramai 12 lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital berhampiran.  

    Dalam satu kenyataan di platform X, pihak lapangan terbang mengesahkan bahawa semua penumpang dan anak kapal telah dikenal pasti.  

    Insiden berlaku sekitar jam 3:30 petang waktu tempatan (EST) dalam keadaan bersalji, menurut pihak berkuasa lapangan terbang.  

    Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) memaklumkan bahawa kesemua 80 orang di dalam pesawat berjaya dipindahkan dengan selamat, lapor CBS News.  

    Siasatan berhubung kejadian akan diketuai oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada, dengan kerjasama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS (NTSB) dan FAA. – Bernama/UPI

    Gambar daripada CTV menunjukkan kakitangan kecemasan sedang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson, Toronto kelmarin. –  AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda