Pesawat tergelincir ragut 3 jiwa

KATHMANDU, 14 April – Sebuah pesawat kecil terbabas ke luar landasan ketika hendak berlepas telah melanggar dua buah helikopter berhampiran Gunung Everest hari ini, turut mengorbankan tiga orang dan tiga lagi cedera, kata pegawai.

Kemalangan itu berlaku di lapangan terbang Lukla yang juga pintu masuk utama ke kawasan Everest dan terkenal sebagai antara lapangan terbang paling rumit di dunia untuk pelepasan serta pendaratan pesawat.

Pegawai lapangan terbang Lukla, Ema Nath Adhikari memberitahu, pembantu juruterbang dari pesawat Let-410 dikendalikan Summit Air khusus untuk penerbangan ke Kathmandu dan seorang pegawai polis terbunuh dalam kemalangan berkenaan.

Seorang lagi anggota polis meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital di Kathmandu, kata jurucakap polis.

“Pesawat itu terbabas ke arah pad helikopter semasa berlepas dan bertembung dengan dua helikopter. Mangsa yang cedera dihantar ke Kathmandu untuk rawatan lanjut. Punca nahas ini masih belum dapat dipastikan,” kata Adhikari.

Gambar-gambar dari tempat kejadian menunjukkan bangkai pesawat dan helikopter yang remuk dan terdapat kesan terbakar.

Lapangan terbang Lukla digunakan oleh ribuan pendaki gunung dan pengembara yang mahu meneroka Gunung Everest setiap tahun.

Industri penerbangan Nepal telah meledak beberapa tahun kebelakangan, membawa pelancong dan barangan ke kawasan terpencil negara Himalaya itu yang akses jalannya sangat terhad. – AFP

Pesawat Let L-410 remuk setelah berlanggar dengan dua buah helikopter selepas hendak berlepas di lapangan terbang Lukla. – AFP