MAJURO, 28 Sept – Para penumpang terpaksa berenang menyelamatkan diri hari ini apabila sebuah pesawat melakukan pendaratan kecemasan di sebuah lagun selepas mendarat melepasi landasan lapangan terbang di sebuah pulau Pasifik dan mula karam.
Boeing 737-800 Air Niugini itu membuat cubaan mendarat di Lapangan Terbang Weno di Micronesia namun didapati separuh tenggelam di lagun Chuuk dalam satu insiden awal pagi hari ini.
Dalam beberapa minit, penduduk setempat bergegas menggunakan beberapa bot kecil untuk menyelamatkan 35 orang penumpang dan 12 kru keluar dari air.
Syarikat penerbangan itu berkata pesawat itu, yang sebelum ini terlibat dengan perlanggaran dengan sebuah pesawat pada awal tahun, telah ‘mendarat melepasi landasan lapangan terbang’.
Apa yang menakjubkan adalah tiada laporan kecederaan serius dibuat dalam kalangan penumpang dan kru pesawat tersebut, yang membuat perhentian berjadual dari ibu negara Micronesia, Pohnpei ke Port Moresby.

“Air Niugini boleh mengesahkan bahawa kesemua penumpang dan kru berjaya dikeluarkan dari pesawat itu,” menurut kenyataan firma tersebut.
“Syarikat penerbangan sedaya upaya memastikan keselamatan dan keperluan segera para penumpang dan kru.”
Syarikat itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai punca kejadian, yang terjadi kira-kira jam 9:30 pagi.
Namun ia telah dimaklumkan mengenai ‘cuaca buruk dengan hujan lebat serta kurangnya jarak penglihatan semasa insiden itu berlaku’.
Seorang penumpang, Bill Jaynes, editor akhbar Kaselehlie Press yang beribu pejabat di Pohnpei berkata dia tidak sedar terjadinya kemalangan itu sehingga dia melihat air mula masuk melalui fiuslaj.
“Ia tidak disangka,” katanya tidak lama selepas diberikan kebenaran balik dari sebuah hospital dengan luka di dahinya. – AFP