NAIROBI, 28 OKT – Sebuah pesawat kecil yang dalam perjalanan dari pantai Kenya terhempas hari ini, mengorbankan kesemua 11 orang, termasuk warga asing, menurut kenyataan syarikat penerbangan terbabit.
Pesawat kecil itu dalam penerbangan menuju ke Kichwa Tembo, sebuah lapangan terbang kecil yang terletak di Taman Negara Maasai Mara, dari destinasi pelancongan Diani apabila ia terhempas sekitar jam 5:30 pagi waktu tempatan.
Pengerusi Mombasa Air Safari, John Cleave mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa terdapat 10 penumpang iaitu lapan warga Hungary, dua warga Jerman serta seorang juruterbang warga Kenya.
“Malangnya, tiada yang terselamat,” katanya dalam satu kenyataan berdasarkan maklumat awal, sambil menambah bahawa pihaknya telah mengaktifkan pasukan tindak balas kecemasan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
“Hati dan doa kami bersama semua yang terkesan akibat tragedi ini,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan awal daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya (KCAA) sebelum itu menyebut bahawa pesawat tersebut membawa 12 orang ketika nahas berlaku.
KCAA tidak memberikan butiran lanjut, namun memaklumkan bahawa agensi kerajaan kini berada di lokasi kejadian bagi menyiasat punca kemalangan.
Pada Ogos lalu, sebuah pesawat ringan milik NGO perubatan Amref turut terhempas di pinggir ibu negara Nairobi, mengorbankan enam orang dan mencederakan dua yang lain. – AFP


