MANILA, 15 JULAI – Sebuah pesawat Philippine Airlines (PAL) tergelincir di landasan Lapangan Terbang Busuanga di wilayah Palawan pada petang kelmarin, kata syarikat penerbangan tersebut.
Kesemua 53 penumpang dan empat anak kapal berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Pesawat yang berlepas dari Cebu ke Palawan itu terbabas dari landasan ketika mendarat di lapangan terbang tersebut sebelum jam 3 petang waktu tempatan dalam keadaan cuaca buruk, menurut kenyataan PAL.
Pesawat tersebut berhenti di kawasan berumput di luar landasan konkrit, menyebabkan operasi di lapangan terbang tersebut ditutup dan penerbangan yang tiba dilencongkan ke lapangan terbang lain.
PAL berkata ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memulihkan operasi normal di Lapangan Terbang Busuanga. – Xinhua