Pesawat TNI terhempas

JAKARTA, 15 JUN – Sebuah pesawat pejuang Tentera Nasional Indonesia (TNI) jenis Hawk 209 terhempas di kawasan perumahan di Riau hari ini.

Menurut kenyataan TNI, dalam kejadian 8:13 pagi waktu Indonesia barat itu, pesawat pejuang tersebut terhempas di kawasan Perumahan Mutiara Sialang Indah, Desa Kubang Jaya, Kabupaten Kampar, Riau.

Juruterbang pesawat itu Apriyanto Ismail dilaporkan terselamat selepas menggunakan kerusi lenting dan kini dirawat di Hospital Dr Soekirman Lanud Pekanbaru.

Menurut media tempatan, penghuni dua buah rumah yang rosak teruk tersebut dilaporkan tidak berada di rumah ketika kejadian.

Rangkaian televisyen tempatan memaparkan api marak berwarna jingga dari tapak nahas, mengeluarkan asap hitam tebal daripada serpihan kemusnahan pesawat di laman belakang rumah terjejas.

Seorang penduduk yang rumahnya terletak 100 meter dari tapak nahas, memberitahu Kompas TV yang dia nampak api marak daripada jet pejuang itu ketika ia terbang rendah sebelum terhempas ke rumah dua tingkat yang kosong ketika kejadian.

“Letupan dan api besar akibat nahas membuatkan semua penduduk melarikan diri kerana ketakutan,” tambahnya.

Punca nahas pesawat Hawk 209 buatan Britain yang digunakan TNI sejak 1996 itu masih dalam siasatan. – Bernama/AP

Anggota TNI berdiri mengawal di hadapan serpihan jet pejuang HAWK 209 (di bawah kanvas biru) selepas ia terhempas di Pekanbaru, Riau. – AFP