Wednesday, February 19, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta asing AWG ke-9 luang masa kunjungi karnival

    HARBIN, 13 FEB – Sukan Musim Sejuk Asia (AWG) ke-9 sedang berlangsung hingga 14 Februari.

    Sebagai satu komponen yang bertujuan menambah kemeriahan kepada temasya sukan itu, aktiviti interaksi sosiobudaya yang bertajuk Berlangsungnya AWG pada Tahun Warisan Budaya Tidak Ketara telah diadakan di Kota Ais ini kelmarin, yang turut menyaksikan penyertaan hampir 20 orang atlet, pegawai kontinjen sukan dan warga media dari Mongolia, Thailand, Filipina, Vietnam, India dan Nepal.

    Setelah beraksi di padang sukan, mereka diajak meluangkan masa berkumpul di satu dataran di luar studio penyiaran Kumpulan Media China (CMG) untuk Ekspo Salji di Pulau Matahari Harbin untuk mengikuti karnival merayakan Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 bersama-sama.

    Pada saat menjelang ketibaan Hari Chap Goh Meh yang juga dikenali sebagai ‘Pesta Tanglung,’ yang jatuh pada hari ke-15 bulan pertama mengikut ka-lendar tradisional Cina, iaitu jatuh pada 12 Februari bagi tahun ini, para tetamu asing atas jemputan tersebut bersemangat tinggi menari bersama-sama dengan penduduk tempatan mengikut irama Yangge (sejenis tarian tradisional yang popular di kawasan bahagian utara China yang berkaitan dengan penanaman anak padi), dan turut mencetuskan fenomena riang gembira dalam pukulan gendang dan gong yang bergema tanpa henti.

    Selepas sesi menari itu, kumpulan peserta AWG ke-9 tersebut dibawa mengikuti sesi temu mesra dan diberi penerangan tentang kemahiran menghasilkan sebahagian warisan budaya tempatan seperti lukisan papan ais, lukisan gula, lukisan jerami dan guntingan kertas.

    Selain itu, mereka juga berpeluang mengecapi buah pir beku dan pisang kaki beku yang merupakan makanan warisan, dan diajar membuat “bebola pulut Yuan Xiao” yang merupakan makanan wajib semasa perayaan Chap Goh Meh. Di bawah suhu udara yang sudah mencecah 20 Celsius di bawah sifar, para tetamu tetap menunjukkan semangat tinggi dalam membuat kuih Yuan Xiao dengan cara tradisional, iaitu mencelup isi kuih ke dalam air dan menggulungnya dalam tepung beras pulut secara berulang kali seperti menggulung bola salji, sehingga terbentuk satu bebola yang saiznya sederhana. – Bernama

    Atlet, kontinjen sukan dan warga media dari Mongolia, Thailand, Filipina, Vietnam, India dan Nepal semasa mengunjungi carnival tersebut di Harbin pada 11 Februari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda