Peserta bengkel pengacara terima sijil

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seramai 45 pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima sijil pada Majlis Penutup Bengkel Pengacara/Juruacara Majlis yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, hari ini.

Pada majlis itu, sijil-sijil telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.

Antara lain objektif bengkel dua hari berkenaan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan dalam pengendalian pengacaraan dengan lebih berkesan dan bersistematik seterusnya mewujudkan serta mengembangkan potensi diri pegawai dan kakitangan yang ingin menjadi pengacara atau juruacara dalam majlis.

Dengan adanya bengkel berkenaan, peserta diharap akan mendapat pengetahuan dan pemahaman dalam penyediaan skrip dan menjadi pelapis di jabatan masing-masing untuk meneruskan bidang pengacaraan dan membimbing serta mengasuh bakat peserta dalam bidang pengacaraan.

Sepanjang bengkel itu, para peserta dibimbing oleh Mantan Pengarang Kanan di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP, Hajah Shaharah binti Dato Paduka Haji Abdul Wahab.

Hajah Haireni menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel. – Gambar oleh Bahyiah Bakir