Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bi Madaris ‘Arabiah, Pejabat Setiausaha Tetap dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran, hari ini, mengendalikan majlis penyampaian sijil kepada peserta-peserta yang mengikuti beberapa bengkel yang dilaksanakan.
Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta program, Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Majlis yang berlangsung di Bangunan Tambahan KHEU itu antara lain bertujuan untuk memberigakan mengenai pelaksanaan program atau aktiviti memantapkan dan memperkasakan kemahiran tenaga pengajar dalam pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, memberikan galakan dan penghargaan kepada peserta yang mengikuti bengkel berkenaan atas usaha mereka dalam meningkatkan profesionalisme dan menjana ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran penulisan.
Di samping itu, majlis berkenaan juga memberi dorongan kepada tenaga pengajar di persekolahan Arab supaya sentiasa meningkatkan diri dan pengetahuan khususnya dalam kemahiran pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab.

Antara bengkel yang diadakan adalah ‘Kemahiran-kemahiran Dalam Memantap dan Memperkasakan Penulisan Bahasa Arab’ yang berjalan dari 5 hingga 30 Disember 2020 dan disertai oleh 25 orang peserta. Bengkel berkenaan dikendalikan oleh empat orang fasilitator daripada Union of Arabic Teachers for Non-native Speakers (UAT), Turki dan diadakan pada setiap Rabu dan Sabtu secara atas talian.
Sementara itu, kursus atau Daurah Ta’zeeziyyah Mumarasah Al-Lughah Al-‘Arabiyyah dengan tajuk ‘Meningkatkan Amalan Berbahasa Arab di Kalangan Guru Mawad Diniyyah di Sekolah Arab’ disertai oleh 30 orang peserta.
Kursus telah diadakan kelmarin di Dewan Multaqa, KHEU dan pemudah cara bagi daurah berkenaan ialah Penolong Profesor di Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Achmad Yani. Sebagai kesinambungan daripada bengkel-bengkel sebelum ini, Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bi Madaris ‘Arabiah turut mengadakan Bengkel Kongsisama Tadris Al-Kitabah Wa Lu’bah Tadris Al-Lughah Al-‘Arabiah yang disertai oleh 30 orang peserta.
Majlis penyampaian sijil itu turut disaksikan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dan pegawai-pegawai kanan KHEU.