Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta BIBD Alaf terima sijil

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Kerjasama kukuh dan sokongan berterusan daripada semua pihak yang berkepentingan terutamanya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Program BIBD ALAF telah membolehkan program berkenaan untuk berkembang melalui beberapa kegiatan aktiviti dan inisiatif yang bermanfaat.

    Aktiviti serta inisiatif itu, bertujuan untuk menimbulkan minat dan melahirkan rasa penghargaan daripada para pelajar program ALAF bagi memacu usaha dalam mencapai lebih banyak kejayaan dalam pendidikan mereka untuk melengkapkan dan menyiapkan diri mereka dengan kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dalam ucapannya di Majlis Malam Sejambak Kasih yang berlangsung di Restoran Makanan Laut Horizons, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Beliau menyatakan bahawa tidak lama lagi mereka akan menyambut kedatangan penuntut-penuntut baharu program ALAF dan berharap supaya mereka mengambil contoh dari pelajar-pelajar sebelum ini serta menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi untuk mencapai tahap pendidikan yang tinggi yang boleh membantu menjamin kualiti kehidupan yang selesa.

    “Kami percaya dan yakin, hanya melalui kerjasama yang erat dan sepadu dari semua pihak, Program BIBD ALAF akan menjadi lebih inklusif dalam mencapai kualiti pendidikan yang tinggi dan berprestij,” tekannya.

    Hajah Nurul Akmar menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pelajar penempatan sukarelawan di majlis berkenaan.

    Hajah Nurul Akmar berkata lagi, “Ia sekali gus dapat memastikan masa depan para penuntut yang lebih cemerlang, serta berupaya untuk menjana kehidupan yang berkualiti tinggi, bagi mereka dan juga keluarga mereka.”

    Di majlis itu, Hajah Nurul Akmar turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada para pelajar universiti yang menamatkan tempoh penempatan sukarelawan mereka.

    Seramai 57 orang guru hal ehwal pelajar yang terdiri daripada 46 orang guru dari Jabatan Sekolah-sekolah, 10 orang guru dari Jabatan Pengajian Islam serta seorang guru dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga tujuh orang sukarelawan pe-nempatan diraikan dalam majlis berkenaan.

    Kerjasama di antara BIBD, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama telah berkembang bagi pembangunan beberapa buah inisiatif dan aktiviti yang bertujuan untuk membangunkan minat yang kuat dan rasa penghargaan daripada para pelajar kepada Program BIBD ALAF.

    Dari April hingga Oktober, kelas-kelas tambahan telah diadakan pada setiap Jumaat dan Ahad bagi pelajar-pelajar ‘O’ Level dan bagi murid-murid Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

    Manakala itu, sepanjang cuti sekolah September lalu, beberapa aktiviti telah diadakan seperti bengkel, kem kepimpinan dan pertandingan e-sukan. Di samping itu, para pelajar juga menyertai Program ALAF Urban Farming dari September hingga November.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda