Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta cilik belajar asas pengekodan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Seramai 22 orang pelajar yang berumur antara 7 hingga 10 tahun di Daerah Brunei dan Muara telah menyertai Brunei Kids Can Code (BKCC) Bootcamp anjuran Dynamik Technologies baru-baru ini.
     
    Program yang berlangsung selama tiga hari itu telah memperkenalkan peserta kepada asas pengekodan melalui platform Scratch, digabung dengan aktiviti praktikal dan pembentangan projek akhir.
     
    Ketua Perkhidmatan Korporat Dynamik Technologies, Dayang Rozana Yunos, dalam ucapannya mengongsikan sepanjang program berlangsung, peserta cilik telah menyahut cabaran untuk mereka bentuk dan membina permainan pendidikan mereka sendiri menggunakan Scratch. 
     
    Selain pengekodan, mereka juga mempelajari cara berfikir secara kritikal, bekerjasama, menyelesaikan masalah serta menyampaikan idea mereka melalui teknologi – kemahiran yang akan memberi manfaat kepada mereka pada masa depan.
     
    Bootcamp ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat kami. Dengan memberi peluang kepada peserta untuk menyumbang kepada tujuan yang bermakna, semua yuran pendaftaran dari bootcamp ini akan didermakan kepada  Yayasan Kanser Kanak-kanak Brunei (YASKA),” tambah beliau.
     
    Seramai 22 pelajar yang berumur antara 7 hingga 10 tahun di Daerah Brunei dan Muara telah menyertai Brunei Kids Can Code (BKCC) Bootcamp. Program yang berlangsung selama tiga hari itu telah memperkenalkan peserta kepada asas pengekodan melalui platform Scratch, digabung dengan aktiviti praktikal dan pembentangan projek akhir. – GAMBAR OLEH DYNAMIK TECHNOLOGIES
    Gambar ramai peserta yang mengambil bahagian dalam BKCC Bootcamp baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN DYNAMIK TECHNOLOGIES
    Majlis penutup bootcamp menyaksikan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Interim Dynamik Technologies, Dayang Fatin Nabeela binti Haji Mohd Fadzil. 
     
    Pemenang Kumpulan 5, The Coders telah dinobatkan sebagai kumpulan terbaik dengan penciptaan permainan interaktif yang mencabar pemain untuk membuat pilihan makanan sihat melalui cara yang menarik dan menyeronokkan.
     
    Sementara itu, sumbangan dana daripada Dynamik Charity Pledge, iaitu sebuah inisiatif untuk menyokong pertubuhan kebajikan, telah diserahkan kepada enam badan dan persatuan kebajikan tempatan.
     
    Ia termasuk Persatuan Sindrom Down (ABLE), Majlis Kesejahteraan Masyarakat Brunei (MKM), Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Society for Community Outreach and Training (SCOT), Society for Management of Autism Related issues in Training, Education and Resources (SMARTER) Brunei dan YASKA.
     
    Brunei Kids Can Code yang dilancarkan pada tahun 2020 antara lain bertujuan untuk memupuk kemahiran digital dan menyemai minat dalam bidang sains komputer dalam kalangan kanak-kanak menerusi pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan. 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda