Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Peserta Program Perkembangan Eksekutif (EDP)
bagi Dasar Awam dan Pengurusan bagi Pegawai-pegawai Kanan Siri 17/2022, Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Pertahanan telah mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Pendidikan dan seterusnya diikuti dengan sesi taklimat yang berlangsung di Dewan Kuliah, Sekolah Penerbangan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.
Rombongan seramai 35 orang itu terdiri daripada 21 orang pegawai kanan tentera yang berpangkat leftenan kolonel dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), seorang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), lima pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, serta tiga pegawai kanan tentera luar negara dari Republik Indonesia, Kesultanan Oman dan Republik Singapura turut serta dalam lawatan kerja tersebut.
Rombongan diketuai oleh Pemangku Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Abdul Malik bin Haji Kamis.
Lawatan kerja itu bertujuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai visi dan misi, dasar-dasar dan pelan-pelan tindakan Kementerian Pendidikan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 di samping mempelajari strategi-strategi kementerian dalam memastikan taraf pendidikan dan kaedah pembelajaran berkualiti dan setanding dengan negara lain.
