Monday, February 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta kongsi pengalaman berharga sambut HK-41

    Oleh Yusrin Junaidi –

    Dalam kemeriahan Upacara Perhimpunan Agung Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-41 (HK-41), Media Permata berkesempatan menemu bual beberapa orang peserta dan orang ramai yang menjayakan acara berkenaan pada pagi tadi di Bandar Seri Begawan.

    Salah seorang wakil daripada Al-Uswah Kesatuan Ibu Bapa Pelatih/Alumni (KIBPA) Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) iaitu Dayang Siti Nooriah binti Haji Muhammad Bokhari selaku salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) mengongsikan rasa teruja beliau buat kali kedua mengikuti pasukan berkenaan yang banyak memberikan rangsangan dan motivasi.

    Selaku AJK Perekonomian, beliau juga memaklumkan tentang inisiatif pada masa akan datang untuk menjadikan Al-Uswah KIBPA PKBN itu sebagai sebuah kesatuan yang mampu membantu ahli-ahlinya dalam hal ehwal perekonomian.

    Sementara itu, Pengerusi KIBPA PKBN, Haji Sohaili bin Haji Mohidi turut komited menyelenggarakan pasukan perbarisan lalu Hari Kebangsaan yang melibatkan para ibu bapa, alumni, anak-anak remaja dan bahkan peringkat kanak-kanak.

    Ketika ditemu bual, beliau mengatakan pasukan mereka mampu melakukan disiplin perbarisan lalu seperti pasukan beruniform lainnya.

    Awang Asri tidak melepaskan peluang keemasan untuk menyaksikan majlis upacara perbarisan dan persembahan HK-41. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Hajah Norasiah merafakkan junjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Keinginan Haji Norisham mengikuti aktiviti kerana semangat setia kawan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Haji Sohaili semasa ditemu bual pada Upacara Perhimpunan Agung HK-41. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Haji Sohaili juga berkata sebagai salah seorang rakyat yang telah mengalami peredaran zaman sebelum merdeka, hingga kepada kemerdekaan penuh, zaman milenium, zaman teknologi maklumat (IT) kemudian berlakunya pasca pandemik COVID-19 dan kini zaman kecerdasan buatan (AI), beliau telah melalui banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan dan transformasi ke arah penerimaan peredaran zaman yang mampu diadaptasikan dalam kalangan seluruh warga dan masyarakat.

    Dalam kesibukan upacara berkenaan, Media Permata juga tidak ketinggalan me-nemu bual Awang Asri bin Armadi yang berada di perkarangan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien seawal jam 5 pagi bersama isteri.

    Awang Asri mengatakan peluang melihat secara langsung upacara perhimpunan agung itu merupakan satu memori berharga kerana bukan saja dapat menyaksikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam secara dekat malah dapat beramah mesra bersama Baginda.

    Haji Norisham bin Murah, seorang pesara kerajaan, menjelaskan bahawa keinginannya untuk menyertai acara kebangsaan seperti perbarisan lalu ini didorong oleh semangat setia kawan dan kerja berpasukan.

    Menurutnya, pengalaman tersebut memberikan kesedaran mendalam sebagai rakyat dan penduduk untuk saling memerlukan, membantu dan berganding bahu dalam memakmurkan serta menyejahterakan negara.

    Selain itu, Hajah Norasiah binti Haji Abdul Mumin pula amat komited untuk meraikan bersama rakan-rakan dan hadir di upacara berkenaan dan menyaksikan sendiri secara langsung keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli ke upacara perhimpunan agung.

    Beliau juga merafakkan junjung kasih ke-hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas transformasi anak beliau semasa menyertai PKBN ke-12, setelah melihat kemajuan dan iltizam anaknya yang pada awalnya pemalu kini menjadi seorang yang mandiri, berani serta berfikiran matang sehingga istiqamah menunaikan ibadah dan ringan tulang membantu keluarga dalam aktiviti harian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda