Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta kursus hospitaliti tandatangani kontrak

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai sembilan peserta Program Jangka Pendek Kursus Hospitaliti (Housekeeping) diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Program dan Penandatanganan Kontrak Pekerjaan di majlis yang berlangsung di Teater Kuliah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta dan menyaksikan penandatanganan kontrak antara peserta dan wakil hotel terpilih.

    Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Belia (PPB) selaku pengerusi majlis, Awang Haswandi bin Haji Osman dalam ucapan alu-aluan antara lain menggariskan, kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kemampuan peserta menimbal ilmu dan kemahiran, tetapi mencerminkan semangat juang belia dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran pekerjaan

    Katanya lagi, “Program yang bermula pada 15 September hingga 26 Oktober itu merangkumi dua komponen utama iaitu pembelajaran teori selama empat hari dan latihan praktikal selama sebulan lebih di hotel-hotel yang telah dikenal pasti.

    “Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara PPB dan Persatuan Hotel Brunei (BAH) selaku ahli dalam Jawatankuasa Pandu Hospitaliti dan Pelancongan bersama-sama komited dalam menyediakan laluan kerjaya yang jelas dan berstruktur kepada belia tempatan,” tambahnya.

    Hajah Nor Ashikin menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil hotel. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Antara lain tujuan program adalah untuk memperkasa belia tempatan dengan kemahiran praktikal yang relevan dan berorientasikan industri, khusus dalam bidang housekeeping.

    Majlis itu juga menjadi platform penting untuk memberikan penghargaan kepada peserta atas komitmen dan pencapaian sepanjang program serta memperkukuhkan kerjasama antara institusi latihan dan pihak industri.

    Selain itu, ia juga menandakan permulaan kerjaya rasmi peserta dalam sektor hospitaliti melalui pemeteraian perjanjian kerjasama bersama majikan dan langkah penting dalam memperkukuh usaha pembangunan belia melalui latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa.

    Selain memberi pengiktirafan kepada peserta, ia juga membuka ruang kepada mereka untuk memulakan kerjaya secara rasmi dalam bidang hospitaliti.

    Kerjasama erat antar PPB, BAH serta sokongan padu Jawatankuasa Pandu Hospitaliti dan Pelancongan mencerminkan komitmen berterusan dalam menyediakan laluan kerja yang tersusun dan berdaya saing kepada belia tempatan.

    Dengan majlis itu juga, ia bukan saja menjadi titik permulaan kepada perjalanan kerjaya peserta, malah menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembangunan belia yang bersifat inklusif, mampan dan sejajar dengan keperluan industri masa kini.

    PPB dengan adanya usaha tersebut akan terus komited dalam melahirkan generasi belia berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan bersedia menyumbang secara aktif kepada kemajuan sektor hospitaliti serta pembangunan negara secara keseluruhan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda