Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta kursus padi hibrid terima sijil

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Seramai 25 peserta Kursus Padi Hibrid Teknologi Meningkatkan Pengeluaran Hasil Padi di Negara Brunei Darussalam 2017, telah menerima sijil tamat kursus pada majlis penutup kursus tersebut di Dewan Simpur, Pusat Urusniaga Hortikultur Rimba, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil ialah Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah. Turut hadir ialah Charge d’Affaires Ad Interim, Ning Bo dan Ketua Pejabat Ekonomi dan Komersial Kedutaan Besar China ke Negara Brunei Darussalam, Zhu Rong dan pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, peserta-peserta kursus tersebut terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei Kampus Agroteknologi serta peladang-peladang padi tempatan.

    Hajah Aidah ketika menyerahkan sijil kepada salah seorang peserta kursus.
    Hajah Aidah dan tetamu khas lain bergambar ramai bersama 25 orang peserta peserta Kursus Padi Hibrid Teknologi Meningkatkan Pengeluaran Hasil Padi di Negara Brunei Darussalam 2017.

    Kursus dianjurkan bersama oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Yuan Longping High-Tech Agriculture Co Ltd dengan bantuan daripada Kementerian Perdagangan, Republik Rakyat China. Kursus bermula 15 November hingga 28 Disember tersebut telah dikendalikan oleh lima orang tenaga pengajar dari Longping High-Tech Co Ltd.

    Ia merupakan kerjasama berterusan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China dalam bidang penanaman padi bagi mendukung inisiatif Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan untuk meningkatkan produktiviti padi di Negara Brunei Darussalam kepada 12 metrik tan sehektar pada tahun 2020 di ladang-ladang berpengairan untuk memastikan kedaya tahanan pengeluaran padi tempatan.

    Melalui kerjasama-kerjasama yang dijalankan ini, diharapkan Negara Brunei Darussalam akan dapat mengenal pasti varieti-varieti padi berhasil tinggi yang mana adalah sesuai dengan agro-iklim di negara ini dan dalam masa yang sama, membangunkan kapasiti peladang-peladang tempatan dalam teknologi padi hibrid.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda