Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta kursus padi hibrid terima sijil

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Seramai 35 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan peladang-peladang padi tempatan, menerima sijil masing-masing setelah berjaya menamatkan kursus selama 45 hari dalam teknologi padi hibrid.

    Majlis penutupan rasmi Project on Hybrid Rice Senior Expert Consultants in Brunei Darussalam telah diadakan hari ini di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

    Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Turut hadir di majlis tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Xiao Jianguo dan pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan di bawah KSSUP serta peserta-peserta kursus.

    Pada majlis itu, penyampaian sijil telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Hajah Tutiaty dan TYT Dr Xiao Jianguo.

    Hajah Tutiaty menyampaikan sijil kepada seorang penerima pada majlis penutup di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    TYT Dr Xiao Jianguo menyampaikan sijil kepada penerima pada majlis itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Projek anjuran bersama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Yuan Long Ping High-Tech Agriculture Co. Ltd, dengan sokongan daripada Kementerian Perdagangan, Republik Rakyat China dibimbing oleh enam orang pakar serta seorang penterjemah dari Republik Rakyat China ke negara ini untuk mengendalikan kursus tersebut.

    Terdahulu majlis penyampaian sijil kepada peserta projek, Pemangku Pengarah, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Awang Abuzar bin Haji Mohd Tahir dalam ucapan beliau antara lain mengongsikan, peserta projek telah memperoleh pengetahuan yang komprehensif dalam penghasilan benih padi hibrid, pengurusan ladang, kepentingan penambahbaikan tanah dan aplikasi teknologi yang terkini.

    Selain menjelaskan, latihan itu telah menjadi platform untuk memperkuat usaha kolektif dalam meningkatkan hasil padi dan memastikan keselamatan makanan bagi tanah air.

    Beliau seterusnya menambah, ia sangat mengagumkan apabila melihat dedikasi dan semangat para peserta, termasuk pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, institusi pengajian tinggi dan petani-petani yang bekerja keras.

    “Penyertaan dan komitmen aktif semua telah menjadi asas kejayaan program ini,” jelasnya.

    Kursus itu merupakan kerjasama berterusan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China dalam bidang penanaman padi bagi mendukung inisiatif KSSUP untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi dan beras negara melalui peningkatan produktiviti padi di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda