Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Usaha terus dilaksanakan untuk meningkatkan dan memantapkan kemahiran pemandu pelancong dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti selain mematuhi piawaian yang telah ditetapkan.
Seramai 17 orang peserta yang telah lulus Kursus Asas Pemandu Pelancong dan lapan orang peserta yang berjaya menamatkan Kursus Asas Pemandu Pelancong Pakar Memerhati Burung telah diraikan dan menerima sijil pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Asas Pemandu Pelancong dan Kursus Asas Pemandu Pelancong Pakar Memerhati Burung yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta kursus ialah Pemangku Setiausaha Tetap, KSSUP, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi.
Kursus Asas Pemandu Pelancong ke-16 telah dikendalikan selama 10 hari dari 17 Februari hingga 1 Mac. Kursus itu mula diperkenalkan pada 2016 sebagai salah satu prasyarat Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) bagi mana-mana individu yang ingin mendapatkan Lesen Pemandu Pelancong di negara ini.
Sejak kursus itu mula diperkenalkan, seramai 232 orang pemandu pelancong yang berdaftar di JKP telah mengikuti kursus asas pemandu pelancong.
Manakala Kursus Asas Pemandu Pelancong Pakar Memerhati Burung ke-2 yang berlangsung selama 10 hari itu mula diperkenalkan pada 2024 dan seramai dua orang pemandu pelancong pakar memerhati burung telah berdaftar di JKP.
Kursus yang disediakan itu akan menjadi intensif program asas untuk memberi peserta pemahaman dan pengetahuan yang mendalam mengenai pelbagai jenis burung tempatan, habitat dan tingkah laku burung serta meningkatkan kualiti dan profesionalisme perkhidmatan pemandu pelancong di negara ini supaya dapat memberikan pengalaman yang lebih baik dan berkualiti kepada pengunjung.
Kursus itu juga dapat memberikan pandangan berharga, meningkatkan prospek pelancong menyaksikan penampakan burung yang jarang ditemui atau yang ada di Negara Brunei Darussalam serta belajar mengenai kepentingan usaha pemuliharaan untuk melindungi fauna burung yang ada di negara ini.
Kedua-dua kursus berkenaan telah dikendalikan secara kerjasama di antara pihak JKP dan Kolej Perdagangan Laksamana, sebuah institusi yang telah dilantik bagi mengendalikan Kursus Asas Pemandu Pelancong dan juga Kursus Asas Pemandu Pelancong Pakar Memerhati Burung di Negara Brunei Darussalam.
Bagi pemandu pelancong yang telah lulus kursus-kursus asas berkenaan, mereka dikehendaki menghadapkan permohonan ke JKP, KSSUP bagi mendapatkan Lesen Pemandu Pelancong.
Jika mana-mana individu yang belum berdaftar dan belum mendapatkan lesen Pemandu Pelancong didapati mengendalikan perkhidmatan pemandu pelancong tanpa lesen yang sah atau mengiklankan/menawarkan perkhidmatan pelancongan persendirian boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 20(3) Akta Pelancongan, Penggal 239.
Kerjaya sebagai pemandu pelancong sememangnya sangat-sangat diperlukan dalam sektor pelancongan di negara ini, sementara pemandu pelancong pakar memerhati burung berpeluang meneruskan kerjaya dalam menawarkan pengalaman yang unik kepada pelancong yang meminati memerhati burung yang semakin popular.
Memandangkan adanya keperluan dan permintaan tinggi bagi pemandu pelancong, JKP mempelawa para belia terutamanya yang sedang dan masih mencari pekerjaan untuk mengikuti kursus yang ditawarkan.
Pendaftaran kursus akan dibukakan bagi penyertaan orang ramai dan kursus seterusnya akan diadakan pada Oktober 2025.