Wednesday, July 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta Latihan Serantau terima sijil

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Seramai 22 orang peserta Program Latihan Serantau mengenai Pembangunan Pengajaran dan Bahan Pembelajaran Dalam Talian telah menerima sijil masing-masing pada majlis penutup yang diadakan di Dewan Seri Kerna, Pusat Serantau SEAMEO bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (SEAMEO VOCTECH), Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ketua Canseri, Kedutaan Republik Indonesia, Eko Himawan yang turut berkesudian menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta dan penyelaras kursus berkenaan.

    Eko Himawan ketika berucap telah menyentuh mengenai kepentingan teknologi dalam penyebaran maklumat dan komunikasi yang memainkan peranan penting bagi kehidupan setiap individu pada masa ini.

    Menurut beliau, bagaimana pelajar belajar bergantung pada cara mereka bertindak balas terhadap kecanggihan sistem teknologi menjadikan pembelajaran dalam talian sebagai suatu mekanisme penting dalam sektor pendidikan umum masa kini.

    Beliau turut berharap program latihan berkenaan akan dapat membantu setiap pesertanya dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran dalam pembangunan pengajaran dan bahan pembelajaran dalam talian yang merupakan suatu yang sangat penting dan bersesuaian dengan tugas dan pekerjaan yang mereka lakukan.

    Tetamu kehormat ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta program berkenaan.
    Antara peserta yang mengikuti program latihan berkenaan.

    Program yang telah bermula 3 Februari yang lalu itu disertai oleh 22 orang peserta dari negara-negara serantau seperti Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand.

    Antara yang terkandung dalam program latihan yang dijalankan selama dua minggu itu termasuk sesi kuliah mengenai ‘Rangka Kerja Kemahiran Abad ke-21’, ‘Kemahiran Pembelajaran’ dan ‘Inovasi bagi Pelajar’ serta ‘Pendekatan Pedagogi.’

    Di samping itu, bagi meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta pengalaman para peserta dalam mengembangkan pembangunan pengajaran dan bahan pembelajaran dalam talian, beberapa modul seperti mengenai teknik dalam penggunaan alat ICT dan perisian untuk mengajar dan lainnya juga telah disampaikan.

    Para peserta program kali ini juga berpeluang menyertai beberapa sesi lawatan termasuklah ke Politeknik Brunei di mana mereka sempat mendengarkan penerangan mengenai penggunaan Moodle (KPI) yang digunakan untuk mengurus dan mengatur kelas-kelas bagi kesemua fakultinya.

    Selain itu, para peserta turut mengadakan lawatan kebudayaan dengan berpeluang mengalami sendiri kebudayaan tempatan dan merasakan hidangan tempatan. Antara tempat yang dilawati seperti muzium, masjid, Kampong Ayer dan beberapa lagi tempat menarik di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda