Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Seramai 80 peserta yang terlibat dalam Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan telah diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam Program Kemahiran Al-Quran (KIA) yang diadakan selama dua hari pada 3 dan 5 Mei.
Program anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan itu untuk mempersiapkan para qari dan qariah belia agar mampu bertanding pada tahap yang terbaik dan bermutu tinggi.
Penganjuran program ini adalah dalam usahanya untuk meningkatkan lagi piawaian dan kualiti penganjuran Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan yang memfokuskan kepada pembelajaran dalam bidang taranum Al-Quran.
Program itu memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam bidang taranum Al-Quran, termasuk lagu, suara, fasahah dan tajwid melalui latihan intensif di bawah bimbingan khusus daripada pakar-pakar dalam bidang berkenaan.
Objektif utama daripada program itu adalah untuk memastikan bahawa para qari dan qariah belia yang mengikuti musabaqah Al-Quran nanti dapat bertanding dengan penuh keyakinan dan kecekapan yang tinggi.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan mutu pertandingan dengan menyelaraskan format dan penilaian penghakiman di peringkat belia kebangsaan dan peringkat dewasa kebangsaan.
Dalam sesi-sesi bengkel, para peserta telah diberi latihan khusus yang dirancang untuk memperbaiki kemahiran mereka dalam membaca Al-Quran dengan betul mengikut peraturan tajwid yang betul, memahami makna yang terkandung dalam Al-Quran serta olahan suara dan lagu yang sesuai dan tersusun.
Di samping itu, sebagai nilai tambah, para peserta juga berpeluang untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang berbentuk kepimpinan dan pembangunan diri yang dihasratkan supaya akan dapat mengilap potensi diri para peserta.
Program tersebut diharapkan akan dapat memberi impak positif dalam meningkatkan kompetensi qari dan qariah belia, serta meningkatkan mutu pertandingan tilawatil Quran secara keseluruhan.
Ini adalah langkah positif dalam mendukung perkembangan bakat-bakat belia dalam bidang keagamaan di negara ini dan seterusnya melahirkan generasi Al-Quran.
Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Saringan akan diadakan pada 14 hingga 17 Mei di Pusat Belia, ibu negara bagi memilih peserta untuk ke peringkat seterusnya iaitu peringkat separuh akhir dan peringkat akhir.