RIO DE JANEIRO – Perkara yang paling diingati oleh Popole Misenga adalah saat para penonton melaungkan namanya.
Selepas sekian lama hidup dalam peperangan dan kemiskinan di Republik Demokratik Kongo, Misenga terpilih ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Jeneiro (Rio), Brazil.
Atlet judo itu merupakan sebahagian daripada kelompok pelarian antarabangsa yang pertama dalam sejarah berpeluang bertanding dalam temasya sukan terbesar dunia.
Kini, Misenga kembali kepada kehidupan normal seperti ketika lengannya dikunci oleh lawannya dari India dalam pusingan pertama semasa Sukan Olimpik lalu. Tiada siapa yang mempedulikannya.
Kemudian kedengaran laungan; “Popole, Popole, Popole!” Dengan tenaga yang kuat, Misenga membebaskan lengannya, sebelum memenangi pertarungan tersebut.


Setahun kemudian, kehidupan atlet berusia 25 tahun itu tidak seperti seseorang yang pernah menjejaki pentas Olimpik.
Dia tinggal di kawasan setinggan di Rio yang terkenal dengan keganasan bersama isteri dan lima orang anaknya dalam sebuah rumah kecil.
Misenga masih hidup dalam keadaan miskin dan kekal sebagai pelarian, walaupun berada lebih 6,600 kilometer dari tanah airnya di Afrika.
Dia masih menyimpan gambarnya mengangkat kedua-dua belah tangan kepada penonton selepas memenangi pertarungan dengan atlet India itu.
“Ia terlalu banyak,” katanya. Sewaktu berlangsungnya temasya Olimpik, kawasan setinggan Rio berubah menjadi seperti sebuah planet lain.
Di kawasan setinggan Rio yang terletak di sebelah utara, Bras de Pina, Misenga dan isterinya dari Brazil, Fabiana tinggal dalam sebuah rumah yang hanya memiliki dapur dan bilik tidur kecil.
Rumah itu turut didiami oleh lima anak mereka berusia antara tujuh bulan hingga 13 tahun.
“Kami tidak dapat tidur,” ujar Misenga sambil mengangkat pemberat untuk membesarkan otot.
Di sekeliling kawasan setinggan tersebut kelihatan beberapa lelaki tempatan sedang menghisap ganja sambil ditemani anjing liar.
Seperti kebanyakan kawasan setinggan, Bras de Pina tidak ubah seperti medan perang antara polis dan pengedar dadah.
Bunyi tembakan merupakan perkara biasa di situ. Ia dapat dibuktikan dengan kesan lubang yang terdapat pada dinding apartmen.


Situasi ini menyebabkan Misenga terpaksa melalui jalan alternatif untuk ke pusat latihan judo di ibu kota Rio sekali gus menyebabkannya sering lewat.
“Ada harinya, saya tidak dapat pergi latihan kerana semua penduduk di sini diperintahkan berkurung di dalam rumah.
“Sekiranya saya berada di luar, ia akan mengelirukan anggota polis. Beg yang dibawa ke pusat latihan membuatkan saya kelihatan seperti seorang penyamun,” katanya.
Beliau merupakan salah seorang daripada 10 pelarian daripada seluruh dunia yang dipilih bersaing di bawah bendera Olimpiade.
Krew televisyen antarabangsa berduyun-duyun ke Bras de Pina untuk mendengarkan kisah luar biasanya.
“Sukan Olimpik menjadikan saya terkenal. Orang ramai mengenali saya dari jalanan,” katanya.
Misenga berpisah dengan keluarganya ketika berusia 10 tahun semasa perang Kongo pada tahun 1998-2002. Perang tersebut telah mengorbankan berjuta-juta orang.
Selepas melarikan diri bersendirian ke dalam hutan, Misenga akhirnya dibawa ke kem pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Di situ, dia mempelajari seni bela diri judo.
Beliau sangat berbakat dalam sukan tersebut sehingga berjaya memenangi kejohanan serantau dan mewakili pasukan kebangsaan.
Apabila Misenga dihantar ke Rio untuk menyertai Kejohanan Dunia pada tahun 2013. Kemudian, Misenga bersama seorang atlet judo wanita Republik Demokratik Kongo, Yolande Mabika diberikan status pelarian.
Mereka berdua telah menyertai sebuah badan amal yang memiliki kemudahan lengkap judo di Rio iaitu Institut Reacoa.
Selepas tamat temasya dia kembali ke kawasan setinggan dengan menerima bantuan kewangan dari Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. – AFP