Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta perlumbaan jalani ujian COVID-19

    ABU DHABI, 1 MAC – Dua warga Itali yang disahkan positif dijangkiti COVID-19 merupakan anggota teknikal dan kebiasaannya mereka tidak bercampur dengan peserta perlumbaan jelajah Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu WAM.

    Menteri Kesihatan dan Pencegahan (MoHaP) Dr Abdul Rahman Mohammad berkata sejumlah 612 orang yang berhubung rapat dengan kedua-dua pesakit itu telah menjalani ujian, 450 daripadanya didapati negatif selebihnya masih menunggu keputusan makmal.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama dengan Menteri Pendidikan Hussain bin Ibrahim Al Hammadi.

    Menteri Kesihatan itu berkata dua pesawat turut disediakan untuk membawa pulang rakyat UAE yang berada di Iran, selepas negara itu terjejas dengan wabak COVID-19.

    “Terdapat 21 kes COVID-19 di UAE, lima telah pulih,” kata Menteri Kesihatan.

    Sementara itu, Menteri Pendidikan berkata sebagai langkah berjaga-jaga, taska di UAE akan ditutup selama dua minggu berkuat kuasa 1 Mac.

    “Pihak kami akan sentiasa memantau perkembangan dan mengambil langkah-langkah diperlukan untuk memastikan keselamatan pelajar.

    “Sebelum ini, kami telah mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua aktiviti pelajar di dalam dan luar negara digantung sementara sehingga diberitahu kelak. Pelajar yang mempunyai gejala selesema juga perlu berada di rumah sehingga pulih.”

    Sementara itu, Jabatan Kesihatan Abu Dhabi menafikan laporan mengatakan kes COVID-19 dikesan di sebuah kompleks kediaman di Abu Dhabi hari ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda