Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Dengan hasrat untuk mendapatkan pendedahan, memahami dan mengenali sejarah serta kehidupan masyarakat Negara Brunei Darussalam, rombongan peserta Program Discovery Global, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Sejarah Brunei, di sini, kelmarin.
Ketibaan rombongan peserta program berkenaan di Pusat Sejarah Brunei dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Hanafi bin Haji Saleh di mana beliau turut memberikan pengenalan dan penerangan mengenai pusat tersebut.
Rombongan peserta program berkenaan selain daripada berpeluang untuk melawat galeri-galeri pameran pusat itu, mereka juga dibawa menyaksikan kegiatan takapan batu nisan, pembuatan salasilah dan seni khat jawi yang disediakan oleh Pusat Sejarah Brunei.
Lawatan rombongan berkenaan merupakan salah satu pengisian program mereka dan ia juga memberikan pendedahan kepada para peserta program mengenai dengan sejarah serta budaya masyarakat Brunei.
