Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Delegasi Negara Brunei Darussalam terdiri daripada sembilan orang pelajar yang menyertai Program Rangkaian Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun dan Timur Asia (JENESYS) telah menghadiri Festival Kanak-kanak Antarabangsa Asia ke-16 yang berlangsung di Jepun pada 13 hingga 19 Disember.
Menerusi penyertaan negara dalam festival berkenaan, sebuah filem pendek bertajuk Love Beyond Time telah menerima Anugerah Kecemerlangan dan seorang pelajar iaitu Arriana Chariz Gamido Phua dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) turut memenangi Anugerah JENESYS-JICE.
Sehubungan itu, kepulangan delegasi pelajar iaitu Dayangku Aida Qistina binti Pengiran Junaidi, Dayang Amni Syazana Basirah binti Saiful Rijal dan Dayang Nur Alya Zahra binti Aliman dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains), Awang Ahmad Danish bin Haji Amirhalim, Lau Jia Wen dan Awangku Mohd Yazid bin Pengiran Haji Mohd Jafarouddin dari Pusat Tingkatan Enam Belait serta Arriana Chariz Gamido Phua, Dayang Alya Irdina binti Rasman dan Dayang Alya Batrisyia binti Abdul Rahman dari Maktab Duli bersama guru pengiring iaitu pegawai pelajaran dari Maktab Sains, Dayang Zati Izni Fazreena binti Haji Mohd Hussin telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Metusin bin Haji Jais.
Turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, ialah pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan serta ibu bapa dan keluarga para delegasi.
Program selama tujuh hari berkenaan bertujuan untuk meningkatkan persahabatan antara Jepun dan negara-negara ASEAN dan Timor-Leste dengan mempersembahkan serta pengongsian filem dari negara masing-masing dan meningkatkan persefahaman melalui pertukaran budaya.
Kemuncak program ialah Festival Filem Kanak-kanak Antarabangsa Asia yang diadakan di Bandar Minami-Awaji, Jepun, pada 16 Disember lalu.
Festival filem berkenaan merupakan pertandingan mencipta sebuah filem pendek berjangka masa tiga minit bertema Yang Ku Mahu dibukakan kepada penuntut dari negara-negara Asia.
Sebanyak 54 buah filem pendek dari 15 buah negara dicalonkan termasuk tiga buah filem pendek daripada penuntut Negara Brunei Darussalam bertajuk Decisions, Love Beyond Time dan What I Want – To Promote Brunei.
Filem Love Beyond Time daripada Arriana Chariz Gamido Phua, Dayang Alya Irdina dan Dayang Alya Batrisyia dari Maktab Duli telah memenangi Anugerah Kecemerlangan.
Sementera itu, Arriana Chariz Gamido Phua turut memenangi Anugerah JENESYS-JICE bagi kategori dalam talian yang diumumkan dan disampaikan pada majlis penutup program JENESYS di sebuah hotel di Osaka Bay, Jepun, kelmarin.
Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Dayang Zati Izni Fazreena menyatakan bahawa menerusi program berkenaan para pelajar bukan sahaja berpeluang untuk menunjukkan bakat mereka dalam filem pendek yang dihasilkan serta dipertandingkan tetapi mereka juga berpeluang bagi mengenali budaya masyarakat Jepun dan menyertai program pertukaran sekolah.
Di samping itu, mereka juga berpeluang untuk mengikuti aktiviti-aktiviti sukan Kendo dan peluang berkenalan dengan peserta-peserta program daripada negara-negara ASEAN yang lain dan juga Jepun.
Mengulas mengenai objektif program berkenaan, beliau berkata program itu mendedahkan kebudayaan masyarakat Jepun kepada masyarakat luar dan melalui penyertaan para pelajar, mereka menyatakan keinginan untuk melaksanakan beberapa aktiviti yang bermanfaat seperti budaya penjagaan kebersihan dan kitar semula yang dipraktikkan di Jepun.