Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Dayang Huda Muhassanah binti Mohammad Azri dari Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit diumumkan sebagai Pandu Puteri Tunas Terbaik Keseluruhan dalam Program Sehari Bersama Pandu Puteri Tunas 2025 di Dewan Pusat Belia, hari ini.
Turut hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup program berkenaan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah dan sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais.
Program berkenaan telah disertai lebih daripada 30 orang guru sekolah rendah yang akan menubuhkan Pandu Puteri Tunas di sekolah masing-masing dan 60 orang ahli Pandu Puteri Tunas dari sekolah rendah kerajaan dan swasta.
Semasa acara, Awang Mohammad Norilham turut menyampaikan hadiah kepada pemenang berkumpulan iaitu kumpulan Pisang yang diumumkan sebagai pemenang tempat pertama, diikuti kumpulan Nenas di tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan Langsat.
Antara objektif utama program ini adalah untuk memupuk minat dan semangat peserta dalam melaksanakan aktiviti Program Pandu Puteri Tunas.
Selain itu, program juga diadakan bagi membina kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai ahli Pandu Puteri Tunas serta memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan pemikiran melalui aktiviti interaktif, serta meningkatkan kemahiran berkolaborasi dan menjalin hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.
Program Sehari Bersama Pandu Puteri dilaksanakan melalui kaedah pembelajaran tidak formal secara berkumpulan, untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran peserta selaras dengan matlamat Pandu Puteri Tunas dalam membentuk generasi masa depan yang berpotensi memajukan diri, bangsa dan negara.
Program berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Beruniform dan Perkhidmatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dengan kerjasama Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD).

