Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta Program Prihatin 2 terima sijil

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Pelaksanaan Program Prihatin 2 bermatlamat untuk memberikan ruang dan peluang kepada golongan sasaran iaitu para ibu atau suri-suri rumah tangga yang tidak bekerja mahu pun yang sudah bekerja serta para belia, mendapatkan kemahiran yang bersesuaian melalui penyertaan dalam program-program kemahiran yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Belia (PPB).

    Program itu ialah program dalam bidang masakan dan pembuatan pastri di mana ia boleh diguna pakai oleh para peserta dalam meningkatkan lagi sosioekonomi mereka dan keluarga dan pada masa yang sama berkecimpung dalam perniagaan secara kecil-kecilan.

    Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan, Majlis Perundingan Kampung Panchor, Mengkubau, Dayang Fatimah binti Haji Jamil dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Sijil Program Prihatin 2, Pendedahan Kemahiran Kursus Masakan dan Pastri yang berlangsung di Dewan Bina Diri, PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Dayang Fatimah dalam ucapannya lagi menyatakan bahawa Program Prihatin 2 dilaksanakan bermula 10 Mac hingga 26 April dan pada awal perancangan program itu, sasaran keramaian peserta ialah 15 orang tetapi pihaknya mendapati program itu menerima sambutan bukan sahaja daripada penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau tetapi juga penduduk kampung lain di negara ini.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyampaikan sijil kepada para peserta program di majlis berkenaan.

    Oleh itu, jelasnya lagi, program itu disertai oleh seramai 70 orang ibu dan suri-suri rumah tangga di mana 27 orang mengikuti Kursus Masakan dan 43 orang mengikuti Kursus Pastri.

    Dayang Fatimah dalam ucapannya lagi menyatakan ingin melihat para peserta program mengorak langkah yang lebih luas ke arah memikirkan hala tuju mereka iaitu untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan memanfaatkan ilmu kemahiran yang dipelajari sebagai alat pemula, rakan-rakan kursus sebagai rakan strategik dan media-media sosial sebagai medium untuk mempromosikan perniagaan mereka.

    Program Prihatin 2 yang merupakan kerjasama antara PPB dan Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panchor Mengkubau bermatlamat untuk memberikan latihan kemahiran kepada para belia dan suri-suri rumah tangga yang dikenal pasti tidak bekerja mahupun sudah bekerja serta berminat dan mempunyai keinginan untuk mendapatkan latihan kemahiran secara lebih bersistematik dan profesional dalam kedua-dua kursus yang ditawarkan oleh PPB.

    Sepanjang mengikuti program itu, para peserta telah didedahkan dan diajarkan dengan pelbagai jenis masakan dan pembuatan pastri oleh tenaga-tenaga pengajar.

    Setelah selesai program itu, para peserta diharap akan dapat berdikari sendiri dalam memulakan perusahaan sendiri secara kecil-kecilan seperti apa yang dihasratkan dan dapat menjana sumber ekonomi yang kukuh bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga untuk keluarga dan akhirnya mampu berdiri sendiri sekali gus meningkatkan kualiti hidup tanpa bergantung pada bantuan kerajaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda