Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Tiga peserta terbaik dalam Program Seeds for the Future 2023 (SFTF2023) telah menerima jemputan latihan amali bersama Huawei Technologies (B) Sdn Bhd pada Majlis Penutup SFTF2023 di Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini.
Tiga pelajar berkenaan ialah Dayang Nur Amal Afiqah binti Muhammad Nor Risman dari Fakulti Syariah dan Undang-undang UNISSA, Awang Ahmad Ihsanuddin bin Haji Mohamed dari Sekolah Pengkomputeran dan Informatik, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Awang Junaid Al-Ghazali bin Muhammad Fadhillah dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pemimpin Pasukan (Seeds Stars) yang diberikan kepada Dayang Nur Waa’fa binti Haji Hamidun, pelajar Tahun 2 Fakulti Teknologi Islam (FIT), UNISSA. Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta program serta penyampaian anugerah ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, Tong Wei Shiang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; mantan Dekan FIT, Dr Hajah Tiawa binti Haji Hamid dan Dekan FIT, Profesor Dr Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar atas usaha dan inisiatif mereka dalam menganjurkan bersama program SFTF2023 yang berlangsung selama lapan hari.
Menurutnya, program itu telah menyediakan ruang dan platform kepada peserta untuk mendalami pelbagai teknologi terkini seperti teknologi 5G, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan Kuasa Digital.

Selain itu, ia menekankan kepentingan menguasai kemahiran dalam mengurus pembangunan teknologi yang semakin kompetitif di samping mengambil peluang memajukan diri dengan aspek kreativiti dan inovasi teknologi terkini.
Menerusi program SFTF2023, jelasnya lagi, pertandingan Tech4Good telah membuka peluang dan ruang kepada pelajar mempersembahkan hasil projek yang dibangunkan serta meneroka potensi ICT dalam pembangunan yang mampan dan berterusan.
“Huawei turut bertekad akan terus menyumbang dari aspek teknologi dan kepakaran ke arah menyediakan generasi muda yang berdaya saing serta menuju Wawasan Brunei 2035 dalam program sebegini,” tambah beliau.
Profesor Dr Haji Abdul Hafidz selaku pengerusi bersama SFTF2023 dalam ucapan penutupnya berkongsi kegembiraan dengan komitmen serta sikap dedikasi kesemua 32 orang peserta serta bimbingan dan tunjuk ajar daripada mentor dari Indonesia dan koordinator dari Malaysia sepanjang program.
Program dianjurkan oleh Huawei Technologies (B) Sdn Bhd dengan kerjasama FIT, UNISSA untuk memupuk bakat, menginspirasi semangat dalam bidang ICT, dan menyumbang kepada kemajuan industri ICT tempatan.