Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta Program Tarbiah Haji diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Seramai 20 mualaf terdiri daripada sembilan lelaki dan 11 perempuan yang telah mengikuti Program Tarbiyah Ibadah Haji bagi Bakal Jemaah Haji Mualaf bagi 1445/2024M telah diraikan dalam majlis penutup dan Doa Selamat yang diadakan di Bilik Mau’izhah, Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, hari ini.

    Peserta program dua hari berkenaan terdiri daripada penerima-penerima Kurnia Tambang Fardu Haji daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi mualaf tahun ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh yang menekankan bahawa ibadah haji adalah Rukun Islam yang kelima. Ia merupakan sebesar-besar ibadah yang dilakukan dengan harta dan tubuh badan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dan bukannya seperti melancong ke tempat-tempat lain.

    Bakal jemaah haji bertolak ke tanah suci adalah diistilahkan sebagai rehlah keimanan. Rehlah haji bermaksud satu perjalanan yang memerlukan pengorbanan jiwa, emosi, harta, keluarga dan kesihatan demi pengabdian diri kepada Allah SWT.

    Dalam ucapannya pada majlis itu, tetamu kehormat juga menasihatkan kepada bakal jemaah haji mualaf supaya memastikan peluang keemasan untuk menjadi Dhuyufur Rahman (Tetamu Allah) ini tidak dibiarkan begitu sahaja.

    “Rebutlah peluang, waktu yang ada dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT, melipat gandakan amal ibadat ketika berada di tanah suci, seperti mengambil peluang untuk menunaikan umrah, melazimi sembahyang berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dan perlu ikhlas dalam melaksanakan ibadah dan jauhkan daripada rasa riak, sombong atau bangga kerana terpilih ke Tanah Suci,” ujarnya.

    Program seumpama itu diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang situasi sebenar di Tanah Suci dan panduan ibadat haji dan umrah kepada bakal haji secara teori dan praktikal.

    Di samping itu, ia juga diadakan untuk meningkatkan kefahaman dan amalan Fardu Ain bagi memastikan amal ibadah dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

    ATAS & BAWAH: Haji Abdul Rajid semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta program berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda