Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Semangat patriotisme, cinta dan taat kepada raja dan negara jelas terpancar dalam diri setiap peserta yang menyertai latihan bagi menjayakan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang disambut Ahad ini.
Ribuan peserta membanjiri ibu negara awal pagi lagi untuk memastikan upacara perhimpunan dan sambutan pada 23 Februari itu akan berjalan lancar serta teratur semasa Latihan Penuh Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, ibu negara, hari ini.
Hadir menyaksikan latihan penuh itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.
Latihan penuh upacara itu menyaksikan penyertaan bagi acara perbarisan lalu sebanyak 161 buah pasukan melibatkan 26,534 peserta yang dibahagikan kepada 15 kluster iaitu keselamatan negara, masyarakat bestari, perkhidmatan awam, sosioekonomi, pendidikan pasca menengah, pendidikan menengah, pendidikan swasta, takmir masjid, persatuan profesional, pergerakan belia, pergerakan wanita, persatuan sukan, persatuan umum, masyarakat umum, dan pasukan generasi berwawasan.
Turut menyertai perbarisan lalu itu nanti ialah kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Asia Tenggara ke-30, 2019, Filipina yang telah mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam.


Latihan turut menyaksikan acara persembahan padang daripada kira-kira 7,000 penuntut dan warga perkhidmatan awam.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan pada akhir latihan penuh itu, menyatakan perasaan gembira dan berpuas hati dengan mutu persembahan dan perbarisan semua peserta pada latihan tersebut.
Beliau menyatakan penghargaan atas komitmen dan semangat patriotik yang amat tinggi ditunjukkan oleh mereka dalam memberikan persembahan serta perbarisan yang cemerlang.
Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 membawa tema ‘Menjayakan Wawasan Negara’ yang memfokuskan kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035 dengan menekankan pentingnya setiap rakyat dan penduduk serta segenap sektor dalam pembangunan negara memainkan peranan masing-masing serta menggembleng usaha dalam memastikan wawasan tersebut tercapai dan berjaya.