Wednesday, July 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peserta SSEAYP berlepas ke Jepun

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Seramai 28 orang belia dan seorang ketua kontinjen telah berlepas ke Jepun bagi menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) dan Jepun ke-45, 2018 yang akan bermula esok hingga 13 Disember depan.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada kontinjen Negara Brunei Darussalam berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.

    Pada kesempatan itu, Haji Amer Hamzah turut memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada kontinjen negara sebelum mereka berlepas.

    Kontinjen negara diketuai oleh Haji Muhammad Iqbal Fakhri bin Haji Damit, manakala itu, para belia diketuai oleh Awang Nabil Fikri bin Mudim Haji Suhaili

    Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Awang Nabil Fikri memberitahu bahawa sebagai persiapan menyertai program berkenaan, mereka telah mengadakan latihan-latihan kepimpinan dan kebudayaan serta sesi-sesi perbincangan yang sangat berguna apabila program bermula nanti.

    Gambar ramai peserta SSEAYP ke-45 bersama tetamu kehormat.

    Katanya lagi, apabila balik ke tanah air nanti, mereka berharap dapat menyumbangkan bakti kepada negara terutamanya dalam mengembangkan lagi belia ke arah yang lebih baik.

    SSEAYP merupakan program pertukaran belia antarabangsa khusus bagi negara-negara ASEAN dan Jepun yang telah bermula sejak 1974 dengan tujuan bagi melahirkan kesefahaman dan kerjasama antarabangsa dalam kalangan belia-belia ASEAN dan Jepun, di samping mempelajari adat budaya, politik dan pembangunan ekonomi bagi sesebuah negara.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini merupakan kali ke-33 sejak penyertaan rasmi negara pada 1985.

    Program tahun ini berjalan selama 52 hari bersama 330 orang belia dari 11 buah negara dengan menggunakan Kapal Nippon Maru yang akan singgah di beberapa buah negara telah dipilih iaitu Negara Brunei Darussalam, Manila (Filipina), Bangkok (Thailand), Ho Chi Minh (Vietnam) dan akan berakhir di Tokyo, Jepun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda