Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Brunei Gas Carriers (BGC), hari ini, telah mengadakan Majlis Tamat Latihan In-Country Value (ICV) Ignite pertama yang berlangsung di Hotel J, Kiulap bagi meraikan para peserta yang berjaya menamatkan Program Pembangunan ICV berkenaan.
Majlis telah dihadiri oleh Pengarah Urusan BGC, Kapten Abdul Mateen bin Abdurrahman Liew serta jemputan khas daripada Bahagian Indusrti dan Ekosistem Perniagaan (IBE), Darussalam Enterprise (DARe), Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan pengurusan serta kakitangan BGC.
Dalam kata alu-aluannya, Pengurus Perolehan dan Kontrak BGC, Pengiran Dianawaty binti Pengiran Matzin menyatakan bahawa para peserta program telah menunjukkan kegigihan dan profesionalisme yang tinggi untuk belajar serta mendapatkan kesedaran dan pandangan mengenai ekosistem perkapalan dan maritim kita.
Sebanyak 17 vendor ICV Ignite telah mengambil bahagian dalam program berkenaan dengan 14 vendor telah berjaya menamatkan program latihan tiga hari mandatori, Go! & BAH! yang diadakan dari Mei hingga Jun lalu.
Majlis itu menandakan satu mercu tanda signifikan dalam perjalanan mereka menuju ke arah peningkatan keupayaan mereka dalam industri perkapalan dan maritim.
ICV Ignite dilancarkan pada 7 Mac lalu di mana ia bermatlamat untuk menyediakan sokongan kepada perniagaan tempatan bagi membina keupayaan mereka dalam ekosistem perkapalan.
