Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Para penggiat sukan larian tempatan terus melakar prestasi cemerlang masing-masing bukan sahaja dalam cabaran larian dalam negara bahkan juga di luar negara.
Kelmarin, beberapa orang penggiat sukan larian tempatan telah menyertai Limbang CNY Run 2024 sejauh tiga kilometer di mana peserta asal Brunei, Awang Shamsuleffandy bin Haji Sulaiman telah merangkul tempat pertama manakala Awang Suhail bin Haji Suhaili menduduki tempat kedua.
Sementara itu, pada hari ini, beberapa orang peserta tanah air menyertai Miri Ang Pau Run 2024 di mana setelah berentap dalam cabaran sejauh lima kilometer, Awang Mazli bin Mashadi telah berjaya menduduki tempat kedua dan diikuti dengan tempat ketiga oleh Adrian Andrew Sungkoi.
Awang Mazli memberitahu Media Permata, dengan menyertai cabaran-cabaran di negara jiran seumpamanya bukanlah semata-mata bagi meraih kemenangan namun pengalaman yang ditempuhi itu juga suatu yang ingin diterokai tidak kiralah dari segi mengeratkan silaturahim semasa peserta-peserta lain bahkan setiap penganjuran larian di mana-mana pastinya memiliki keistimewaan yang tersendiri.



