KUCHING, 20 JULAI – Peserta bengkel Transformasi Minda MADANI Petra Jaya diseru supaya menjadi pelopor perubahan dalam komuniti masing-masing, dengan menghayati serta mengamalkan semangat Malaysia MADANI dalam kehidupan seharian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Sarawak perlu dijadikan contoh terbaik masyarakat MADANI yang bersatu padu, progresif dan berdaya saing.
“Seperti yang kita ketahui, Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi, yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat. Dalam konsep Malaysia MADANI ini, pelaksanaannya berpaksikan perpaduan kukuh dan menitikberatkan keadilan yang harus dirasai oleh setiap entiti ras atau rumpun bangsa yang pelbagai di negara ini,” katanya dalam ucapan pada majlis penutupan bengkel berkenaan di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri – Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dalam konteks Sarawak, pendekatan kolektif menjadi lebih signifikan kerana kepelbagaian budaya dan etnik merupakan kekuatan utama negeri itu. – Bernama
