Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Empat pelajar Negara Brunei Darussalam baru-baru ini telah dibawa menyertai program serantau yang dianjurkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Inisiatif Pemimpin Asia Tenggara (YSEALI) bagi Bengkel Pendidikan STEM YSEALI 2018 di Phnom Penh, Kemboja dan Kem SEA YSEALI 2018 yang berlangsung di Bohol, Filipina.
Hari ini, keempat-empat peserta berkenaan telah mengongsikan pengalaman mereka dalam program berkenaan semasa sesi temu bual yang dianjurkan oleh Kedutaan AS di Brunei Darussalam, di Starbuck, Mabohai.
Bagi Bengkel Pendidikan STEM YSEALI 2018, program tersebut telah disertai oleh Awang Mohd Khairul Izzat bin Abdul Hamid, 24, yang kini sedang dalam tahun akhir pengajian Sarjana dalam bidang Ekonomik di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Dayang Nuratikah binti Daud, 23, pelajar tahun akhir Sarjana Muda dalam bidang Kejururawatan Sains Kesihatan di UBD.
Kedua-dua mereka telah mengikuti bengkel empat hari bermula 28 Februari hingga 3 Mac yang lalu bersama-sama 50 orang ahli YSEALI yang lain dari ASEAN.
Dalam temu bual tersebut, Awang Mohd Khairul Izzat menjelaskan bahawa beliau mengikuti bengkel itu kerana program tersebut membolehkan beliau menekankan kepentingan pendidikan STEM di Brunei Darussalam dan mempromosikan perkembangan ekonomi bagi membolehkan Brunei mengurangkan kebergantungannya terhadap sektor minyak dan gas.

“Saya percaya bahawa Brunei Darussalam ketinggalan dari segi mempromosikan pendidikan STEM berbanding dengan negara anggota ASEAN terutama negara Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam yang pada masa ini mengalami perkembangan pesat kerana mereka percaya bahawa pendidikan STEM adalah sangat penting,” ujarnya.
Manakala itu, Dayang Nuratikah pula memberitahu bahawa penyertaan adalah kerana jurusan beliau pada masa ini merupakan cabang daripada STEM dan beliau juga berkeinginan untuk mengetahui status STEM di rantau ASEAN yang lain.
“Dari bengkel tersebut, kami mempelajari jurang di antara kawasan luar dan dalam bandar yang berhubungan dengan pendidikan STEM di negara-negara lain.”
Selain itu, mereka secara bekerjasama membuat pembentangan awam dengan peserta dari negara-negara ASEAN yang lain di mana beliau mempelajari trend masalah di luar negara yang berhubungan dengan pendidikan STEM dan sebagainya.
“Apa yang saya pelajari pada bengkel itu ialah kepentingan pendidikan STEM di ASEAN, cabaran yang dihadapi, bagaimana mereka mempromosikan pendidikan STEM ini dan kepentingannya dalam ekonomi sesebuah negara,” tambah Dayang Nuratikah.
Awang Mohd Khairul Izzat berkata, beliau percaya bahawa program berkenaan membolehkan beliau mengenal pasti beberapa jurang bagi pendidikan ini di Brunei Darussalam.
Menurutnya lagi, Brunei Darussalam kekurangan dari segi penganjuran pesta pendidikan ke arah pendidikan STEM dan kebanyakan sekolah-sekolah di negara ini mengutamakan aktiviti dalam kelas berbanding dengan aktiviti luar kelas.
“Apa yang saya pelajari di luar negara, mereka menekankan terhadap aktiviti di luar kelas kerana mereka percaya bahawa ia akan merangsang minat pelajar-pelajar terutama dari kalangan sekolah rendah.”
Dayang Nuratikah pula menambah, “Semasa bengkel tersebut, mereka menekankan bahawa bagi mempromosikan pendidikan STEM, anda perlu mendedahkannya sejak di awal usia lagi untuk menimbulkan minat mereka terhadap bidang berkenaan yang berkaitan dengan STEM.”
Menurutnya lagi, mereka juga mempelajari mengenai inovasi, komunikasi dan kerjasama di mana ia merupakan komponen yang penting bagi pendidikan STEM, dan mereka juga diberikan peluang untuk bercakap dengan seseorang dari NASA di mana beliau mengongsikan kepentingan pendidikan STEM dalam bidang mereka.
Sementara itu, Kem SEA YSEALI 2018, pula disertai Dayang Nurizzati Balqis binti Haji Hailen, 19, yang baru saja menamatkan ‘A’ Level pada tahun lalu dan pada masa ini sedang menunggu kemasukan ke universiti di Rom, Itali; dan Dayang Nur Hafizah binti Abdul Harith, 24, yang baru sahaja menamatkan pengajian di UBD dalam jurusan Sosiologi Antropologi.
Kem yang berlangsung dari 19 hingga 26 Mac lalu itu adalah inisiatif untuk mempromosikan pemuliharaan lautan dan kepimpinan belia. Ia menghimpunkan seramai 30 pemimpin belia ASEAN yang berusia 18 hingga 23 tahun.
Dayang Nurizzati Balqis mengongsikan, beliau menyertai kem berkenaan atas minatnya dalam pemuliharaan laut, “tetapi di Brunei kita tidak terlalu terdedah terhadap bidang ini, terutama dalam pendidikan kita.
“Kita perlu menyedari bahawa laut pun boleh mati dan kita perlu mengambil tindakan. Salah satu caranya ialah dengan berkongsi maklumat bersama mereka yang mempunyai niat yang sama bagi menghasilkan sesuatu yang boleh merubah nasib laut dan juga dunia,” tambahnya.
Menurutnya, kem itu mengajar beliau menjadi gigih dalam melakukan apa yang mereka percayai kerana sesetengah orang cenderung menyerah awal apabila menghadapi penolakan, kegagalan atau kritikan.
“Tetapi mereka perlu ingat mengapa mereka memulakan perjalanan mereka dalam pemuliharaan. Kerana pemuliharaan tidak mudah. Ia perjalanan yang panjang yang memerlukan komitmen dan tindakan yang kolektif,” tekannya.
Manakala itu, Dayang Nur Hafizah pula memberitahu bahawa dengan menyertai kem tersebut, beliau mendapat pengetahuan dan kesedaran terhadap persekitaran laut. Katanya, kem itu bukan sahaja menyentuh mengenai pemuliharaan laut, tetapi juga hutan bakau, sungai dan pelbagai lagi.
Bercakap lebih lanjut mengenai kedua-dua program tersebut, Pegawai Perhubungan Awam, Kedutaan AS di Brunei Darussalam, Catherine Muller berkata, perkara yang menarik mengenai YSEALI adalah sebahagian besar daripada program berkenaan adalah bengkel serantau, yang biasanya berdasarkan tema tertentu dan dalam hal ini adalah mengenai pendidikan STEM dan Kem Laut yang memberi tumpuan kepada pendidikan marin.
“Bengkel ini membolehkan para peserta belajar daripada para pakar industri dari AS dan dari seluruh ASEAN. Ia juga mewujudkan satu platform yang membolehkan para peserta membentuk rangkaian dari negara-negara ASEAN.
“Jadi, mereka bukan sahaja diberi sumber dan kemahiran untuk mempengaruhi perubahan komuniti mereka sendiri di Brunei, tetapi mereka juga dapat bekerja dengan rakan-rakan mereka di seluruh ASEAN untuk membuat perubahan,” tambahnya.