Oleh Balkish Awang –
BELAGA – Tersorok jauh di pedalaman membuatkan Air Terjun O’ong Pejik di Lusong Laku, kekal terpelihara daripada pembangunan komersial, sekalipun keindahan kawasan riadah air ini disetarafkan Niagara Falls Malaysia.
Berketinggian enam meter, air terjun di Sungai Linau itu membentuk percikan halus bak kabus di permukaan sungai, menghasilkan panorama indah persis Niagara Falls atau Air Terjun Niagara, satu daripada keajaiban dunia di benua Amerika Utara.
Terletak berhampiran Empangan Bakun, Lusong Laku merupakan kawasan gunung berapi yang pernah meletus suatu ketika dahulu, dan kini didiami kebanyakannya etnik Penan.
Untuk tiba di Lusong Laku bukan mudah, dan ini dilalui sendiri oleh penulis, Balkish Awang, yang menyertai Program Media Turun Padang di Sarawak anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).
Perjalanan sejauh lebih 200 kilometer dari Bintulu, mengambil masa kira-kira 10 jam dengan dua pertiga dari tempoh itu dihabiskan di laluan balak. Bermula dari Simpang Murum, Bakun ke Lusong Laku, mereka meredah laluan tidak bertar yang berlubang sebesar kawah kecil selain menyusuri tebing sungai dan mendaki kawasan curam.





HILANG PENAT
Melewati kawasan pergunungan yang menghijau serta bertemu beberapa batang sungai kecil yang mengalir deras, melencongkan rasa sakit dilantun kenderaan pacuan empat roda.
Namun kesakitan serta keletihan itu lenyap tatkala kenderaan yang mereka naiki menghampiri perkampungan Sungai Linau dengan deruan air terjun O’ong Pejik begitu jelas kedengaran. Pemandangan yang menyambut kami membuatkan penulis terlupa tempoh memenatkan 10 jam perjalanan.
Terpikat dengan keunikan air terjun itu, penulis mencari masa mendekati Tinggang Jati, Ketua Umum Rumah Panjang Lusong Laku bagi mendalami sejarah kawasan berkenaan.
Menurut Tinggang, 43, O’ong Pejik merupakan bahasa Penan bermaksud air terjun dalam bahasa Melayu.
“Namun orang luar memanggilnya Wong Pejik. Seperti yang dapat kami saksikan, keunikan air terjun ini kerana bentuk semula jadi yang tidak dijumpai di tempat lain di negara ini.
Aliran airnya menjunam dan menghempas permukaan sungai menghasilkan percikan yang kelihatan seperti kabus,” kongsinya.
Tinggang berkata selain O’ong Pejik, terdapat tiga lagi air terjun di sekitar kawasan berkenaan, iaitu O’ong Buvung, O’ong Lakeik Bra’an dan O’ong Bem.
LUBUK REZEKI
Tinggang berkata, O’ong Pejik merupakan lubuk rezeki buat mereka yang gemar memancing apabila tiba musim kemarau.
“Semasa musim kemarau, penduduk dan pengunjung yang datang tidak melepaskan peluang untuk memancing, memukat dan menjala ikan air tawar. Antara ikan yang ada di air terjun ini ialah empurau, semah, baung kuning dan ikan batu.
“Ini merupakan aktiviti tumpuan penduduk di Sungai Linau untuk mereka mencari rezeki kerana ia paling mudah serta berdekatan dengan rumah selain tidak memerlukan kos,” katanya.
Bercerita lanjut, Tinggang berkata O’ong Pejik amat terkenal di era 1980an dan menjadi tumpuan pelancong luar negara yang datang untuk menikmati keindahan air terjun berkenaan.
Namun, katanya, sejak akhir-akhir ini bilangan pengunjung luar berkurangan, mungkin disebabkan oleh perjalanan yang jauh selain keadaan jalan raya yang teruk.
HOMESTAY SUNGAI BUANG
Tidak perlu gusar untuk bermalam di Lusong Laku kerana ada beberapa inap desa, antaranya Homestay Sungai Buang yang tidak jauh dari air terjun itu.
Rumah dua tingkat itu mempunyai enam bilik tidur serta lima bilik air dengan pakej yang turut merangkumi sarapan, makan tengah hari dan malam. Rumah tersebut juga mempunyai dapur bagi yang ingin memasak sendiri.
Pemiliknya, John Mering, 60, berkata beliau memulakan perkhidmatan itu pada Mac 2022 namun secara sambilan kerana masih bekerja sebagai pembantu tadbir di Sekolah Kebangsaan Tegulang (SK), Murum, tidak jauh dari Lusong Laku.
“Selepas bersara pada Oktober tahun lepas, saya memberikan sepenuh perhatian pada inap desa ini,” katanya, menambah beliau membeli tanah seluas dua hektar untuk diusahakan sebagai kebun sebelum dibangunkan inap desa berkenaan.
KOMUNITI PENAN
Lazimnya, pengunjung yang datang tidak akan pulang dengan tangan kosong. Sebaliknya mereka akan membeli kraf buatan masyarakat Penan yang mendiami Rumah Panjang Lusong Laku.
Komuniti wanita Penan aktif menghasilkan pelbagai produk anyaman rotan penuh kreatif seperti beg galas, beg sandang, sumpit serta tikar.
Mendapat bimbingan daripada Kraftangan Malaysia, produk hasil tangan komuniti Penan itu dipasarkan di pelbagai tempat termasuk Kuching serta Semenanjung Malaysia. – Bernama