Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
KUCHING – Bila memperkatakan mengenai kain songket, tumpuan umum pasti terarah ke beberapa negeri di Semenanjung seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang tanpa ramai mengetahui bahawa Bumi Kenyalang juga memiliki songket dengan pesonanya yang tersendiri.
Perkara itu diakui oleh pemilik Seri Gedong Songket, Ramtiniwaiti Ramlee, 32, apabila beliau sendiri sering melihat ekspresi sedikit pelik yang ditunjukkan sesetengah mere-ka dari luar negeri ini apabila dimaklumkan mengenai songket Sarawak. “Di Sarawak, orang dahulu memanggil songket sebagai ‘kain’, mungkin disebabkan itu songket Sarawak tidak begitu dikenali seperti songket dari beberapa negeri di Semenanjung. Ianya dikenali sebagai ‘kain belatak’, ‘kain penakan’,’kain berunei’ dan ‘kain berturus’.
“Namun begitu, songket yang dihasilkan di negeri ini sebenarnya memiliki keunikan tersendiri seperti kelainan dari segi teknik serta motif yang dihasilkan berbanding songket yang dihasilkan di negeri lain, malahan kami di Seri Gedong Songket juga menerima tempahan daripada peminat songket dari Semenanjung,” katanya kepada Bernama. Ramtiniwaiti, yang memperoleh kemahiran menenun hasil pembelajaran di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Sarawak dan pernah bekerja di Yayasan Tuanku Nur Zahirah, cawangan Sarawak, berkata teknik ‘Sifir Sarawak’ antara perbezaan ketara songket dari ne-geri ini dengan songket negeri lain.
“Proses menghasilkan songket adalah sama, cuma teknik di sini ada sedikit lain. Cara pembahagian benang berlainan kerana songket Sarawak memiliki sifir tersendiri, sifir pembahagian benang dilakukan untuk menimbulkan motif, teknik tenunan pula, mempunyai dua kali ketuk, empat kali ketuk dan enam kali ketuk.
“Songket Sarawak juga mementingkan kekemasan di bahagian belakang dan menggunakan teknik tapok (benang sembunyi). Keistimewaan songket Sarawak juga apabila ia boleh digunakan di bahagian luar dan dalam kerana memiliki corak yang sama,” katanya.


Melihat kepada potensi yang mampu dijana, di samping mahu melestarikan kembali keunikan seni songket Sarawak agar tidak pupus ditelan zaman, Ramtiniwaiti mengambil keputusan menurunkan ilmu menenun dimiliki kepada lapan lagi rakan sekampung berusia antara 20 tahun hingga 34 tahun sekaligus diambil untuk bekerja dengannya.
Beliau berkata, bengkel Seri Gedong Songket di Desa Girang Jaya, Kampung Kanchong Baru, Gedong, dekat Simunjan, juga dilengkapi dengan tujuh alat tenun bagi tujuan itu.
“Dengan pengalaman serta kemahiran menenun songket yang dimiliki sejak 2006, saya tubuhkan Seri Gedong Songket pada tahun 2015. Sejak ditubuhkan kami menghasilkan lebih 100 helai songket yang ditempah pelanggan,” katanya sambil menambah songket keluaran Seri Gedong kini memiliki Sijil Pematuhan Kualiti Songket Malaysia yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Ditanya perbezaan hasil tenunan mereka, Ramtiniwaiti berkata Seri Gedong Songket masih mengekalkan teknik tenunan tradisional dan manual, selain memberi tumpuan untuk menghasilkan tenunan motif Songket Melayu Sarawak.
“Songket yang dihasilkan mengikut tempahan pelanggan, lebih lama tempoh menenun, kesukaran motif, jenis benang serta nilai kepada songket yang ditenun itu menjadi faktor kepada harga jualan.
Setakat ini songket paling murah dihasilkan serta dijual ialah RM1,800 manakala paling mahal RM12,000,” katanya. – Bernama