Thursday, December 8, 2022
29.3 C
Brunei

-

Pesta beriga peluang lanjut pengajian

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Para pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di luar negara akan berpeluang mendapatkan maklumat lanjut semasa Pesta Pengajian Antarabangsa 2022 anjuran Agensi Perkhidmatan Pendidikan Findlay pada 23 November ini.

Buat pertama kali selepas pandemik, ia akan diadakan secara fizikal di Hotel Centrepoint, Gadong.

Findlay dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, pesta berkenaan akan memberi pelbagai pilihan untuk pengajian tinggi dengan menampilkan pelbagai keperluan kemasukan dan destinasi pengajian seperti di United Kingdom (UK), Australia, Malaysia, Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah.

Dengan meluaskan pilihan, ia akan menjadi laluan yang menawarkan kemasukan alternatif kepada pengajian tinggi di peringkat asas atau setara dengan ijazah tahun pertama untuk pelajar yang telah terlepas tarikh akhir kemasukan atau tidak mencukupi syarat.

Program-program dalam kampus berkenaan juga sangat memudahkan pelajar beralih ke kehidupan universiti, tanpa memanjangkan tempoh pengajian mereka.

Semasa pesta tersebut, perunding Findlay akan mewakili rakan kongsi dari beberapa universiti dan kolej yang tidak dapat hadir untuk menyertainya.

Ia juga akan diisi dengan bengkel dan penilaian profil kerjaya psikometrik Morrisby untuk pelajar yang tidak pasti tentang kerjaya dan laluan pendidikan yang akan diambil.

Pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Majlis Akreditasi Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Pengurusan Biasiswa serta pihak bank tempatan juga akan menyertai bagi memberikan maklumat dan menjawab sebarang pertanyaan.

Di samping itu, acara berkenaan juga menyediakan ujian Bahasa Inggeris IELTS manakala bagi pelajar yang membiayai sendiri pengajian mereka juga berpeluang menemui beberapa institusi yang menawarkan biasiswa menarik.

Kebanyakan institusi berkenaan memenuhi kriteria untuk biasiswa Kementerian Pendidikan dan skim pinjaman pendidikan untuk tahun akademik 2023/24.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China umum pelonggaran sekatan seluruh negara

BEIJING, 7 DIS – China hari ini mengumumkan langkah pelonggaran sekatan COVID di seluruh negara yang menjejaskan negara ekonomi kedua terbesar dunia dan mencetuskan...
- Advertisment -