Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 2 MAC – Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Temburong telah mengadakan Majlis Pelancaran Pesta Buah-Buahan dan 1K1P Daerah Temburong di Padang Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Temburong baru-baru ini.
Pelancaran pesta yang diadakan selama tiga hari bermula 29 Februari hingga 2 Mac itu telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.
Hadir pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, selaku Penghulu Mukim Bokok dan Pemangku Penghulu Mukim Amo, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohamad Khairul Shahrul bin Haji Duahim.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan KHEDN, ketua-ketua cawangan jabatan-jabatan kerajaan Daerah Temburong, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta jemputan khas lainnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan majlis pelancaran pesta berkenaan, dan diteruskan dengan acara menjalin kelupis terpanjang semasa acara itu.
Selain memeriahkan lagi Daerah Temburong dengan aktiviti perekonomian tersebut, acara berkenaan juga bertujuan menarik lebih ramai pengunjung dari luar daerah dan juga dari negara jiran untuk berkunjung ke daerah berkenaan untuk menyaksikan produk-produk yang dihasilkan oleh penduduk di sini.
Pesta yang disertai seramai 60 orang itu diisikan dengan pelbagai aktiviti seperti aktiviti menjalin kelupis terpanjang, sukan ria, pameran dan sebagainya.
