Wednesday, February 12, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Buku 2023 buka tirai

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Pesta Buku Brunei 2023 membuka tirainya kelmarin dengan majlis perasmian di Dewan Perpaduan, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas yang diselajurkan dengan pelancaran sebanyak 19 buah buku baharu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

    Perasmian bagi pesta yang akan berlangsung selama 10 hari itu telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Majlis juga diserikan dengan penyampaian buku terbaharu dan dokumen perjanjian kepada para penulis serta sijil penghargaan kepada para penaja.

    Di samping itu, majlis turut menyaksikan penyampaian Hadiah Buku Terlaris 2022, di mana bagi kategori ilmiah, buku terlaris adalah Merista Kumpulan Artikel Sejarah yang ditulis oleh Awang Hanafi bin Haji Salleh terbitan Pusat Sejarah Brunei.

    Buku terlaris bagi kategori umum adalah Scary Dreams an Anthology of Supernatural Brunei Stories yang ditulis oleh Awang Mohammad Hafizzul Fadhillah bin Haji Johari dan Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos yang diterbitkan oleh Qasrun Nafis Publishing House.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar bersama para penerima Hadiah Buku Terlaris 2022 di ICC Berakas baru-baru ini.

    Sementara itu, dua buku iaitu Real Ghost Stories of Borneo 5 yang ditulis oleh Dr Aammton Alis dan Bertaut di Pinggir Hati oleh Dr Khadizah binti Haji Abdul Mumim, terbitan DBP pula merupakan buku-buku terlaris bagi kategori sastera.

    Manakala, bagi kategori kanak-kanak pula adalah buku Sahabat Karib Alya tulisan Dayang Rosmuliati binti Haji Yahya dan kategori komik pula adalah Bahtera Zahir yang ditulis oleh Awang Mohammad Azizul bin Haji Salam. Kedua-kedua buku berkenaan diterbitkan oleh DBP.

    Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapannya berkata, Pesta Buku Brunei pada kali ini yang membawa tema Mari Membaca bukan sahaja melibatkan penyertaan daripada penerbit buku tempatan malahan dari luar negara.

    Sebanyak 34 pempamer menyertai acara berkenaan yang terdiri daripada institusi dan penerbit kerajaan, syarikat dan kedai buku tempatan, serta perwakilan dan penerbit buku luar negara.

    Penyertaan berkenaan menunjukkan sokongan padu daripada pelbagai pihak yang turut sama-sama berganding bahu mendukung usaha DBP dalam membudayakan dan menyemai minat masyarakat untuk membaca, tambah Awang Suip.

    Antara objektif pesta buku berkenaan adalah untuk menggema dan menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa, serta mendukung Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan masyarakat bermaklumat, berpendidikan, berpengetahuan, berkualiti dan berwawasan.

    Di samping itu, ia juga sebagai wadah pertemuan dan interaksi antara penerbit buku, toko buku dan masyarakat di bawah satu bumbung untuk meningkatkan daya apresiasi terhadap buku, mengeratkan jalinan kerjasama perniagaan dan permuafakatan bagi merancang strategi untuk mengembangkan industri penerbitan buku di peringkat serantau dan antarabangsa, serta memperkasa dan memasyarakatkan budaya membaca.

    Selain pameran dan jualan buku, pesta berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda