HARGEISA, Somalia – Di sebalik usia remaja, Abdishakur Mohamed dengan yakin mempersembahkan karya mutakhirnya di Pesta Buku Hargeisa, iaitu acara yang mengubah latar sastera Somaliland sejak sedekad lalu.
Abdishakur menghabiskan masa selama empat tahun untuk menulis Abka haleel (In the Footsteps of Our Ancestors) yang asalnya bertujuan untuk mematahkan dakwaan rakannya yang tidak lagi berpegang dengan budaya mereka.
“Sebaliknya mereka menganggap budaya tidak penting, manakala identiti Somali mereka dalam keadaan bahaya,” katanya kepada AFP.
Pada acara tahunan pertama tahun 2008, penganjur hanya mempamerkan buku yang dipinjam daripada kenalan dan hanya menarik 200 pengunjung.
Tempoh masa 10 tahun berlalu dan sastera mula mengambil kedudukan penting dalam kebudayaan Somaliland. Penulis baharu mula muncul, naskhah disunting, kelab buku ditubuhkan dan perpustakaan awam dibuka.


Pesta buku yang berlangsung baru-baru ini menjadi faktor utama bagi masyarakat Somaliland untuk menerima sastera.
Pesta buku itu mempunyai tarikan antarabangsa dan menarik pempamer dari seluruh dunia, di samping membantu dalam meningkatkan kesedaran terhadap kestabilan negara yang diisytiharkan sendiri secara relatifnya dengan Somalia.
Somaliland berpisah daripada negara ‘Horn of Africa’ itu pada tahun 1991 yang sehingga kini tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Saya datang ke sini kerana ia menerima semua lapisan masyarakat daripada duta, ahli politik dan artis hinggalah ahli pemikir; pelbagai individu yang berbeza datang untuk berkongsi idea terhadap masa depan Somaliland, selain melihat kembali kepada sejarah,” kata pembikin filem, Khadra Ali.
“Kami berada di sini untuk memberi semangat kepada orang muda dan memberitahu nilai penulisan sama ada buku, puisi atau apa-apa saja yang berkait dengan seni,” kata pengarang dan dramatis, Yasmin Mohamed Kahin, yang karyanya dipamerkan pada pesta buku tahun ini.
Somaliland dan Somalia mempunyai tradisi lisan yang meraikan penyair seperti Mohamed Ibrahim Warsame atau lebih dikenali sebagai Hadraawi, yang dianggap oleh sebahagian sebagai Shakespeare Somali.
Hanya pada tahun 1972, Bahasa Somali dikodifikasi oleh kerajaan tentera Siad Barre dalam usaha untuk mengukuhkan identiti kebangsaan.
Bagaimanapun tentangan bersenjata terhadap Barre, meningkatkan pemerintahan autoritarian, sekali gus memperlahankan momentum untuk menjadikan bahasa itu sebagai bahasa formal.
Tentera Somali kemudian mengebom Hargeisa, menyebabkan rakyatnya menjadi orang buangan di Eropah dan negara Teluk, selain kem pelarian di Etiopia. Seorang pengunjung pesta buku ini ialah aktivis yang berusia 80 tahun, Edna Adan, yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan isteri Presiden Somaliland kedua, Mohamed Ibrahim Egal.


Edna yang mendapat status selebriti di kalangan orang muda kerana kegiatannya, mengenang kembali lawatannya pada tahun 1990 ke tapak yang kini menjadi Pusat Kebudayaan Hargeisa, iaitu lokasi pesta buku berkenaan. Kompleks itu kini menempatkan perpustakaan, galeri dan teater yang dibuka pada tahun 2014.
“Saya tidak dapat berjalan di jalan raya di sini kerana tentera Somali telah menanam periuk api,” katanya.
Usaha awal untuk mempromosi buku dan membaca menerima reaksi yang tidak memberangsangkan, katanya. Edna berkata, saban tahun semakin ramai orang muda mendapat inspirasi untuk menulis dalam Bahasa Somali, selain bahasa asing termasuk Arab dan Inggeris.
“Ia memperkenalkan buku yang bernilai kepada generasi muda, sesuatu yang mereka tidak kenal sebelum ini,” katanya.
Penyelidik di Universiti Pisa, Jama Musse Jama, kembali dari Itali pada tahun 2008 dan menganjurkan pesta buku itu. Dia sebelum ini beranggapan rakyat negaranya tidak membaca buku kerana berpegang kuat dengan tradisi lisan.
“Bagaimanapun selepas kembali, saya menyedari itu bukanlah sebabnya. Apa yang tidak ada ialah bahan asas. Tidak ada buku yang diedarkan.
“Kita terlupa siapa kita sebenarnya. Kita melupakan seni, budaya dan muzik. Pada dekad 1940-an, 1950-an dan 1960-an, muzik Somali menjadi antara muzik terbaik Afrika. Hari ini, orang muda mungkin tidak mempunyai idea mengenai muzik Somali,” katanya.
Bagaimanapun Jama menegaskan hal itu sudah berubah apabila kesedaran terhadap sastera dan bentuk seni lain semakin berkembang. Jurugambar, Huda Ali, yang menerima antologi gambar yang merakam Somaliland, bersetuju dengan kenyataan Jama.
“Pada 10 tahun lalu, mereka ada kalanya terkejut melihat wanita dengan kamera di jalan, ia sesuatu yang janggal untuk diterima. Namun ia berubah,” katanya.
Delegasi dari Rwanda menjadi tetamu kehormat pada pesta buku tahun ini.
Artis Rwanda, Carole Karemera, berkata seperti negaranya, Somaliland disokong oleh latar artistik baharu yang berkeyakinan tinggi selepas menghampiri ambang kehancuran. – AFP