Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Buku Brunei 27 Feb ini

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca (PBB dan KMBM) bertema ‘Buku Jendela Ilmu’ akan diadakan pada 27 Februari hingga 8 Mac di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    PBB dan KMBM merupakan projek tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan projek ini diserap dalam kalendar Pesta Buku Negara ASEAN.

    Dalam sidang media di Balai Laila Muafakat, DBP, petang tadi, Pemangku Pengarah DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak selaku Pengerusi PBB dan KMBM menjelaskan, sebanyak 78 petak disediakan semasa pesta dan karnival berkenaan yang akan disertai oleh DBP, penerbit-penerbit buku kerajaan dan swasta serta toko buku dari dalam dan luar negara.

    Penyertaan dari luar negara adalah di bawah ASEAN dan ASEAN+3 sempena Bandar Seri Begawan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN.

    Jelasnya, pada tahun ini, penyertaan ASEAN dan ASEAN+3 yang terdiri daripada penerbit-penerbit buku itu dilaksanakan buat julung kalinya atas inisiatif KKBS.

    Hajah Sariani menjelaskan semasa sidang media mengenai Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca yang akan diadakan nanti.

    Petak ASEAN dan ASEAN+3 akan mempamerkan perihal kebudayaan, kesenian dan warisan tradisional negara-negara ASEAN dan ASEAN +3, masing-masing dalam bentuk wahana penerbitan iaitu buku dan risalah.

    Menurut beliau, penyerapan budaya ASEAN dalam PBB dan KMBM adalah berdasarkan deklarasi Bandar Seri Begawan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN yang telah disepakati dalam Mesyuarat SOMCA ke-13, di Hotel Centerpoint, Gadong.

    Dalam rangka pelan strategik Jawatankuasa Kebudayaan dan Informasi ASEAN (ASEAN COCI), Bandar Seri Begawan telah diisytiharkan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN dari tahun 2016 dan penglibatan dalam pesta buku berkenaan adalah antara inisiatif dan komitmen bersama untuk mengangkat elemen kebudayaan menerusi platform pendidikan khususnya dalam konteks penganjuran PBB dan KMBM.

    “Majlis Perasmian Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca (PBB dan KMBM) akan diadakan pada 27 Februari 2018.

    “Dalam majlis perasmian tersebut, sebanyak 38 buah buku akan dilancarkan, lima buah buku bagi kategori ilmiah, tiga buah buku bagi kategori umum, 12 buah buku bagi kategori sastera dewasa dan 18 buah buku bagi kategori sastera kanak-kanak,” jelas beliau.

    Turut dilancarkan ialah buku cerita rakyat Pulau Labi-labi, yang diterjemahkan dalam Bahasa Dusun, Inggeris, Filipina, Korea, Jepun, Arab, Mandarin, Perancis dan Jerman hasil komitmen kerjasama penterjemahan dan penerbitan antara DBP dan Pusat Bahasa, Universiti Brunei Darussalam.

    Sepanjang PBB dan KMBM 2018, pelbagai kegiatan telah dirancang antaranya Buku Jendela Dunia, Dengar dan Fahami Cerita, Kuiz Kenali Negara Kitani, Permainan Tabu, Susur Bahasa, Sahiba Jawi, Pesta Pantun Nusantara, Spelling Bee, Bengkel Fonik, Lancar Baca, Dekon Puisi Sekolah-Sekolah Rendah.

    Selain itu, pesta juga menyediakan Bengkel Praktikal: Meneroka Magnetisme, Memahami Elektrik, Cahaya dan Bayang, Bengkel Praktikal Guru: Bagaimana Mengajar KESERONOKAN dalam Sains Fizikal, Buana Ria, pertemuan bersama penulis (Brunei dan Malaysia) dan banyak lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda