HAVANA – Ribuan penduduk Cuba berpusu-pusu ke Pesta Buku Antarabangsa Havana yang diadakan selepas berehat selama dua tahun akibat sekatan pandemik COVID.
Antara pengunjung yang keluar masuk melalui Kubu San Carlos de la Cabana yang bersejarah, tempat di mana pesta buku tersebut dianjurkan ialah pelajar universiti, Gabriela Casanas yang berusia 23 tahun.
Sambil membawa buku dan majalah yang baru dibeli mengenai sejarah Cuba, Casanas memberitahu Xinhua, “Saya tidak sabar menunggu pesta buku itu bermula. Bagi penduduk Cuba, ini merupakan acara kebudayaan yang sangat penting. Saya akan meluangkan sedikit masa di sini bersama kawan-kawan.”
Penduduk Havana, Mario Dominguez, seorang peguam, berkata selain menjadi acara sosial yang dinanti-nantikan, di mana rakan dan keluarga boleh berkumpul, pameran itu menawarkan pembaca peluang untuk membeli buku khusus.
“Terdapat pelbagai jenis buku mengenai topik yang berbeza daripada isu undang-undang kepada budaya dan sukan,” katanya dan menambah, “Saya gemar membaca novel fiksyen sains.”

Pameran itu menampilkan pengarang dan penerbit buku sebahagian besarnya dari Amerika Latin, dengan edisi ke-30 tahun ini menonjolkan Mexico sebagai negara tetamu.
Walaupun penganjur berasa yakin untuk menyambung semula pesta buku, peraturan penjarakan sosial masih dilaksanakan, termasuk memakai pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan untuk meminimumkan risiko penyebaran virus.
Kerajaan Cuba mengambil langkah bersungguh-sungguh untuk menggalakkan membaca dalam kalangan penduduknya, menurut Penolong Ketua Pengarah Pendidikan UNESCO, Stefania Giannini.
“Cuba sangat mementingkan sumbangan budaya dan warisan buku sebagai alat untuk memperkaya pemikiran logik dan kreatif,” katanya dalam mesej video.
Dengan sepanduk ‘Membaca memberi perkembangan’ pameran itu telah mengaturkan seminar dan ceramah mengenai cabaran yang dihadapi oleh industri penerbitan buku dalam era digital.
Penyair Cuba, Alexis Diaz, yang menyifatkan pesta buku itu sebagai ‘jamuan kesusasteraan’, meraikan kepulangannya sejak edisi terakhir diadakan pada Mac 2020.
“Kami telah lama terpisah akibat wabak itu. Penulis dan pembaca menunggu pesta buku itu kembali,” katanya. – Xinhua