Thursday, November 14, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta buku, karnival buka tirai

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca (PBB dan KMBM) 2017 membuka tirainya hari ini di Dewan Serba Guna, Kompleks Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. Turut hadir ialah Duta Kesultanan Oman, Sheik Ahmed bin Hashil Al-Maskari.

    PBB dan KMBM yang disinergikan dengan sambutan Hari Kebangsaan berkenaan membawa tema Raikan Buku Raikan Ilmu dengan berkonsepkan kesedaran pendidikan yang antara lain bertujuan untuk mencerdaskan bangsa.

    Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abd Wahab selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi pesta tahun ini menjelaskan, buku daripada pelbagai genre baik yang diterbitkan di negara ini atau yang dibawa dari luar negara menyajikan pengalaman ilmu yang pelbagai sekali gus boleh memberikan pengetahuan, membuka minda dan kepekaan kepada perkara baru dan sebagainya.

    Beliau seterusnya menambah, kajian rambang mengenai membaca yang dilakukan oleh kebanyakan negara maju menjelaskan orang yang terus belajar dan rajin membaca akan memiliki ketajaman minda, kesihatan emosi yang lebih baik kerana selalu berfikiran positif dalam situasi senang dan sulit.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika merasmikan pelancaran PBB dan KMBM.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika merasmikan pelancaran PBB dan KMBM.

    Mereka yang membaca dan belajar juga akan memahami apa ertinya makna belajar seumur hidup di mana mereka yang belajar seumur hidup melalui membaca dalam pelbagai genre dan membaca luas akan memiliki kemampuan kognitif yang baik.

    Menurutnya lagi, dengan membaca juga dapat mengembangkan imaginasi, kreativiti dan daya cipta.

    Beliau seterusnya mengingatkan, dalam dunia yang terus maju dan berkembang ini, menimba pengetahuan baik dalam seni kemahiran softskill adalah penting.

    “Untuk menguasai medan ini, individu atau institusi seharusnya mampu berdiri sendiri dalam mengupayakan dan hanya memerlukan bantuan kepakaran dalam aspek teknikal,” jelasnya.

    Antara objektif pesta berkenaan adalah untuk membuka peluang pertemuan dan interaksi bagi penerbit, pengedar buku, pustakawan, pencipta buku dan masyarakat umum di bawah satu bumbung bagi meningkatkan daya apresiasi terhadap buku.

    Di samping itu juga bagi menyediakan kemudahan lalu lintas buku dan IT serta bahan pembelajaran yang lain seterusnya memperkasa dan memasyarakatkan budaya membaca kepada semua lapisan masyarakat.

    Pesta buku yang berlangsung selama 10 hari itu mengetengahkan 97 petak dengan 45 penyertaan termasuk sembilan penerbit kerajaan, 19 tokoh buku tempatan, dua syarikat komputer, 11 peserta dari luar negara termasuk Amiriah Arab Bersatu, Jordan, Kesultanan Oman, Malaysia, Indonesia dan Singapura.

    Majlis pelancaran turut menyaksikan penyampaian hadiah penghargaan buku terlaris dan buku terbaru kepada wakil institusi dan penulis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda