Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 3 MAC – Dengan hasrat memupuk minat dan tabiat membaca sambil menyediakan ruang kepada pengarang tempatan dan vendor buku untuk mempamerkan produk mereka dan berhubung dengan pembaca, Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB) telah mengadakan pesta buku pertamanya di salah sebuah bilik darjah dan Pusat Pelajar PTEB baru-baru ini.
Pesta buku yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan oleh Kelab Buku sekolah, yang dikenali sebagai LitLounge PTEB, dengan kerjasama Jabatan Bahasa Inggeris sekolah.
Selain itu, pesta buku itu juga diharap dapat mengeratkan komuniti Kluster 6, dengan pelajar dari 12 sekolah rendah dan menengah lain di Belait turut menyertai acara itu untuk meneroka, berkongsi minat dan menikmati bacaan buku.
Vendor buku yang mengambil bahagian termasuk Best Eastern, Pustaka Remaja, Syarikat Teras Maju, Elite Book Club, M Content Creations, Callylia x Lia Alisha Chateau dan CraftymindbyS, mempamerkan pelbagai jenis buku merangkumi semua jenis genre.
Selain penjualan buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut dijemput untuk menganjurkan beberapa permainan dan aktiviti bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.
Salah satu acara kemuncak semasa pesta buku itu ialah penampilan istimewa pengarang tempatan, Dr Aamthon Alias, yang terkenal dengan Kisah Hantu Sebenar Borneo, pada hari terakhir acara itu.
Beliau ditemani oleh penulis jemputan, Micheal Hardy dan Wan Dayyini.