Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta etnik kukuh perpaduan

    BELURAN, 13 Ogos – Penganjuran pesta suku etnik di negeri ini menjadi landasan untuk terus mengeratkan perasaan kekitaan dan persaudaraan rakyat, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

    Justeru, beliau berkata kerajaan negeri memberi sokongan penuh penganjuran pesta atau perayaan mana-mana suku kaum di negeri ini.

    “Kita harus sentiasa ingat seni budaya yang diwarisi daripada nenek moyang dan salah satunya adalah menerusi penganjuran pesta atau perayaan.

    “Selain itu, ia juga menjadi satu landasan untuk terus mengeratkan perasaan kekitaan dan persaudaraan antara kita sesama kita,” katanya ketika merasmikan Pesta Tagunggu di Paitan, hari ini.

    Hadir sama Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang juga Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

    Datuk Seri Musa Aman (tengah) bergambar bersama tetamu dan orang ramai yang hadir pada Pesta Kaamatan di Paitan. – Bernama
    Datuk Seri Musa Aman (tengah) bergambar bersama tetamu dan orang ramai yang hadir pada Pesta Kaamatan di Paitan. – Bernama

    Pesta Tagunggu Paitan mula dianjurkan sejak 2006 mengetengahkan muzik, tarian dan peralatan tagunggu suku kaum Sungai Sugut.

    Musa berkata perpaduan antara rakyat di negeri ini biarpun mempunyai pelbagai suku, kaum dan agama dikagumi masyarakat lain di negara ini.

    Katanya perpaduan itu menjadi elemen penting rakyat di negeri ini hidup dalam suasana aman dan harmoni.

    Beliau berkata kehidupan aman dan harmoni itu menyumbang kepada kestabilan politik bagi membolehkan kerajaan menumpukan usaha membangunkan negeri ini untuk dinikmati oleh rakyat.

    Dalam pada itu, Musa berkata daerah kecil Paitan yang terletak di luar bandar tidak ketinggalan daripada arus pembangunan khususnya dari segi kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan air. Namun, katanya, kerajaan sedar masih banyak pembangunan perlu dilakukan di kawasan itu untuk kesejahteraan rakyat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda