Pesta hiburan ingkar penjarakkan sosial diserbu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Sekumpulan lelaki dan perempuan, termasuk anggota beruniform dan tiga daripadanya di bawah umur telah didapati mengadakan pesta hiburan di salah sebuah bilik hotel di Berakas, yang menjadi lokasi pengasingan diri, jelas melanggar arahan perkumpulan ramai dalam situasi pandemik COVID-19 ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kegiatan berkenaan terbongkar apabila anggota yang bertugas sedang membuat kawalan pengasingan (isolation) di lorong tingkat empat hotel tersebut pada jam 12 tengah malam tadi dan mendapati bunyi bising di salah sebuah bilik dengan nada bunyi muzik yang tinggi seraya mengganggu penginap-penginap yang lain.

Sejurus itu, pihak polis dan sekuriti bertugas meluru masuk ke dalam bilik berkenaan dan telah mendapati adanya perkumpulan ramai.

Semasa pemeriksaan dijalankan, empat orang daripadanya telah bertindak cuba melarikan diri dengan keluar serta turun ke tingkat tiga melalui balkoni bilik lalu masuk ke sebuah bilik yang didiami oleh salah seorang yang sedang menjalani pengasingan diri.

Walau bagaimanapun, cubaan berkenaan berjaya digagalkan dan mereka ditahan oleh sekuriti bertugas. Hasil siasatan awal mendapati bahawa seramai 20 orang telah berada dalam bilik tersebut dengan 15 daripadanya lelaki dan lima orang perempuan, yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 27 tahun.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan turut menemukan barangan tegahan iaitu minuman keras dan juga rokok.

Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU) telah dihubungi bagi menjalankan siasatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan Bab 104, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013. Manakala empat orang daripadanya juga akan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 bagi kesalahan ceroboh.

Kenyataan menekankan bahawa PDB dengan tegas tidak akan teragak-agak dalam melaksanakan perintah undang-undang yang diarahkan dan sebarang pelanggaran perintah larangan akan dihadapkan ke muka pengadilan bagi menerima hukuman yang setimpal.

Pihak kerajaan amat serius terhadap perintah yang telah dikeluarkan berhubung penjarakkan sosial serta larangan mengadakan sebarang aktiviti-aktiviti perkumpulan.

Larangan perintah berkenaan adalah amat penting bagi masyarakat awam bagi memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyokong dan membantu kerajaan dalam pelaksanaan mengekang penularan wabak COVID-19 ini dengan lebih efektif dan berkesan.