Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta hidupkan kembali jalan terkenal Gemmayze

    BEIRUT – Beribu-ribu pelawat Lubnan dan asing berpusu-pusu ke Jalan Gemmayze yang terkenal di Beirut pada hari Ahad lalu untuk menghadiri pesta yang bertujuan menghidupkan semula bandar terjerumus dalam krisis kewangan yang teruk selama bertahun-tahun.

    Orang ramai melawat sekitar 300 gerai yang mengambil bahagian di pesta itu untuk menerokai pelbagai jenis produk termasuk makanan, permata, buku, pakaian, topi, lukisan dan banyak lagi.

    Di jalan Gemmayze yang sibuk dipenuhi dengan bunyi muzik dan dihebohkan dengan tenaga dan keterujaan orang ramai yang sedang tawar-menawar untuk produk yang diminati.

    Digelar ‘Aa Tarik El Gemmayze 2022’, yang bermaksud ‘di jalan Gemmayze’, acara itu turut menarik minat keluarga yang menikmati beberapa program menarik untuk anak-anak mereka.

    “Saya sangat gembira dengan suasana yang menarik di sini kerana kami tidak pernah melihat acara sebegitu di Gemmayze sejak wabak COVID dan letupan pelabuhan Beirut,” kata Mohamad Mneimne, salah seorang pelawat kepada Xinhua ketika dia membeli sebuah kalung perhiasan untuk teman wanitanya.

    Seorang wanita melihat lilin di salah sebuah pondok di pesta yang diadakan di Jalan Gemmayze di Beirut, Lubnan. – Xinhua
    Pengunjung semasa berkunjung ke pesta di Jalan Gemmayze. – Xinhua

    Seorang lagi pengunjung, Manal Hammoud berkata, “Ini bandar Beirut kami dan inilah suasana yang kami mahukan.”

    Cynthia Warde, penganjur pameran itu, memberitahu Xinhua bahawa dia pernah menganjurkan acara yang sama dalam ruang tertutup, tetapi telah memutuskan untuk mengadakan pameran itu tahun ini di Gemmayze dengan kemasukan percuma. Dengan berbuat demikian, dia berharap pesta itu dapat menarik lebih ramai orang dan memulihkan kehidupan di kawasan ini yang telah musnah akibat letupan pelabuhan.

    Warde memberitahu Xinhua bahawa dia mempunyai senarai menunggu yang panjang bagi orang yang bersedia untuk mengambil bahagian dalam pests serupa pada masa hadapan, yang menunjukkan jumlah daya tahan hebat rakyat Lubnan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dihadapi negara itu.

    “Ini juga akan menggalakkan pemilik kedai yang telah menutup perniagaan mereka di kawasan ini berikutan letupan untuk membuka semula dan menghidupkan semula jalan ini,” kata Warde.

    “Kami akan bangkit semula, ini pesanan kami hari ini,” tambahnya.

    Warde berkata gerai pesta itu ditawarkan kepada 300 peserta pada harga yang sangat berpatutan iaitu 400,000 paun Lubnan (AS$14) untuk memberi mereka peluang mempamerkan dan memasarkan produk mereka.

    “Pesta ini merupakan peluang pemasaran yang hebat,” kata Caroline Alam, yang menjual barangan porselin dilukis dengan tangan di pesta itu, kepada Xinhua, sambil menambah dia berhasrat untuk menarik pelanggan untuk ateliernya yang akan dibuka tidak lama lagi.

    “Suasana di sini lebih baik daripada jangkaan saya, saya gembira orang ramai menunjukkan minat terhadap produk saya,” katanya.

    Begitu juga, Celine Abdelnour, seorang wanita muda yang menghasilkan barang kemas bersalut emas, memberitahu Xinhua dia mengambil bahagian dalam pesta itu untuk mengembangkan jumlah pelanggannya.

    “Pesta ini adalah cara yang baik untuk menggalakkan pengeluaran tempatan,” katanya sambil menyatakan rasa bangganya melihat permintaan yang baik untuk produknya.

    Lubnan telah menyaksikan krisis kewangan yang besar, menjerumuskan lebih 74 peratus rakyat Lubnan ke dalam kemiskinan.

    Krisis itu diburukkan lagi dengan wabak COVID dan letupan pelabuhan Beirut yang memusnahkan sebahagian besar bandar itu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda