MALANG – Penduduk sebuah desa di Indonesia hanya mampu memerhati ketika sebuah trak yang dipasang pembesar suara bergerak di kawasan kediaman mereka yang biasanya tenang, kini diganggu dengan dentuman bass yang memekakkan telinga hingga mampu memecahkan tingkap cermin.
Pembesar suara sebegini sudah menjadi pemandangan biasa di pulau utama Jawa, memutarkan gabungan muzik elektronik berulang-ulang dan lagu rakyat tradisional pada pesta jalanan.
Namun, ia kian menimbulkan kemarahan pihak berkuasa tempatan serta jiran tetangga yang memerlukan ketenangan.
Gangguan bunyi yang keterlaluan itu menyebabkan pihak berkuasa bulan ini menguatkuasakan sekatan penggunaannya, manakala badan agama turut mengisytiharkan bunyi melampau dan merosakkan dari pembesar suara tersebut sebagai haram menurut hukum Islam.
“Bunyinya berdentum dari jam 1 petang hingga 3 pagi. Mereka pasang muzik kuat dan minum arak,” kata Ahmad Suliyat, penduduk Desa Ngantru, Jawa Timur, kepada AFP.






“Ia memang sangat mengganggu.”
Penduduk di Jawa Timur berkongsi video di media sosial yang menunjukkan dinding retak, atap runtuh, serta kedai rosak akibat gegaran bunyi dikenali sebagai sound horeg, yang secara longgar bererti bergetar dalam bahasa Jawa.
Tindak balas di media sosial memaksa pihak berkuasa mengeluarkan arahan mengehadkan tahap bunyi serta menetapkan masa dan lokasi penggunaan pembesar suara.
“Ia dibuat atas sebab kesihatan dan keselamatan. Tahap bunyi mesti dikawal agar tidak mengganggu ketenteraman awam,” kata Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa.
RISIKO KESIHATAN
Kajian menunjukkan bunyi terlalu kuat boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan, termasuk meningkatkan risiko penyakit jantung kepada mereka yang terdedah.
Menara pembesar suara yang popular sejak lebih sedekad lalu di negara majoriti Muslim terbesar dunia itu juga telah mengorbankan nyawa.
Media tempatan melaporkan seorang wanita meninggal dunia bulan ini akibat serangan jantung yang didakwa berpunca daripada bunyi kuat pembesar suara di sebuah karnival.
Selain itu, peningkatan masalah pendengaran turut dilaporkan dalam kalangan pengunjung acara.
Kerajaan Jawa Timur mengehadkan tahap bunyi sistem pembesar suara kepada 120 desibel, manakala unit bergerak seperti untuk perarakan atau demonstrasi dihadkan kepada 85 desibel.
Ia juga dilarang digunakan berhampiran sekolah, hospital, ambulans, dan rumah ibadat ketika berlangsungnya aktiviti keagamaan.
Pada Julai lalu, sebuah majlis Islam tempatan mengeluarkan fatwa bahawa bunyi keterlaluan dalam majlis yang mampu menyebabkan kerosakan adalah dilarang agama.
“Penggunaan sistem bunyi secara berlebihan, khususnya ketika konvoi perkahwinan atau apa-apa acara yang mengganggu pengguna jalan raya, atau menyebabkan orang lalai daripada beribadah, adalah haram,” menurut fatwa tersebut.
Lazimnya, penduduk menyewa trak pembesar suara untuk majlis perkahwinan, berkhatan, dan sambutan Hari Kemerdekaan semuanya boleh berlangsung sehingga subuh.
Bagi sesetengah penduduk seperti Daini, 61 tahun, ia adalah tradisi tempatan yang wajar dikekalkan. Sambil menunjukkan cermin tingkap rumahnya yang retak dan ditampal pita pelekat akibat sound horeg tahun lalu, beliau berkata, “Kaca retak masa acara tahun lepas, tapi tidak mengapa, orang sini memang suka majlis bising.”
PENGUATKUASAAN LEMAH
Namun, menara pembesar suara masih terus digunakan melebihi had ditetapkan kerana penguatkuasaan lemah oleh pihak berkuasa.
Selepas peraturan dikeluarkan, seorang wartawan AFP mendengar muzik tetap diledakkan dari menara pembesar suara di satu acara di Jawa Timur sementara pihak berkuasa hanya memerhati.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bunyi pada 85 desibel ke atas boleh merosakkan pendengaran secara beransur-ansur, manakala bunyi melebihi 120 desibel boleh membawa mudarat serta-merta. Ada rakyat Indonesia berkongsi tangkap layar aplikasi telefon pintar yang merekodkan tahap bunyi menara pembesar suara sehingga 130 desibel.
Pengusaha menara pembesar suara pula berhujah bahawa mereka hanya memenuhi permintaan masyarakat yang turut menjana pendapatan ekonomi tempatan.
“Saya percaya kebanyakan yang tidak suka sound horeg bukan orang sini,” kata David Stevan Laksamana, 40, pemilik syarikat sewaan pembesar suara di Malang.
“Di Malang sahaja, ia menggaji puluhan ribu orang. Perniagaan ini membantu ekonomi.”
Namun, ada juga penduduk yang tidak tahan dengan pesta jalanan tersebut tetapi takut untuk membuat aduan.
Ada laporan pemilik menara pembesar suara sengaja meletakkan trak di hadapan rumah pengadu dan membunyikan muzik berjam-jam sebagai ugutan.
“Saya tidak pernah mengadu kepada ketua kampung. “Saya hanya diam. Saya takut diugut kalau bersuara,” kata Ahmad. – AFP

